Selangorkini
Pelbagai

Takungan Air Selangor Mencukupi, MB Gesa Hentikan Kenyataan Kelirukan Rakyat

SHAH ALAM, 21 OKT: Takungan air di Empangan Sungai Selangor yang meningkat sebanyak 55.43 peratus kepada 127.49 juta meter padu mampu menampung bekalan air kepada penduduk sekitar Lembah Klang.

Empangan yang membekalkan 60 peratus bekalan air di sekitar Lembah Klang ini membekalkan air untuk dirawat di tiga Loji Pembersihan Air (LPA) iaitu; LPA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LPA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LPA Bukit Badong (SSP3).

Bagaimanapun Umno-BN Selangor terus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat dengan dakwaan kononnya Lembah Klang bakal berdepan krisis air ekoran penurunan paras air di empangan.

“Saya mengesa semua ahli politik terutamanya pihak pembangkang di Selangor supaya berhenti membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan mengenai isu air termasuk kedudukan paras takungan di empangan.

“Kenyataan mengelirukan dan tidak benar ini seolah-olah¬† memperlekehkan kerja keras kakitangan kerajaan yang selama ini bertungkus lumus untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi,” menurut Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.

Abdul Khalid juga memberitahu usaha memastikan bekalan air sentiasa mencukupi ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan penyusunan semula industri perkhidmatan air.

Objektif ini di samping meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pegawai dan kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang bekerja keras dalam memantau status air di dalam empangan.


Pengarang :