Selangorkini
SELANGOR

Teng : SELCAT Hanya Badan Pemantau Pentadbiran Negeri

SHAH ALAM 11 OKT : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan (Selcat) Selangor bukanlah satu badan pengaduan awam yang berkuasa memutuskan tindakan undang-undang.

Sebaliknya, Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berkata ia merupakan satu jawatankuasa yang dibentuk di bawah Dewan Undangan Negeri Selangor untuk memantau pentadbiran negeri.

“Berdasarkan kuasa diperuntukkan, kita akan panggil saksi untuk memberi keterangan serta mengemukakan dokumen supaya kita boleh pantau.

“Tetapi Selcat tidak boleh bertindak lebih daripada bidang kuasa negeri yang terhad seperti dalam kes-kes berunsur jenayah atau rasuah.

“Bagi kes jenayah, badan yang berkuasa ambil tindakan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi kes rasuah pula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertanggungjawab, Selcat tidak ada kuasa dalam hal-hal ini,” jelas beliau dalam sidang media di pejabatnya di SUK sebentar tadi.

Pagi ini, beliau dikunjungi empat individu yang mengadakan demonstrasi dan menghantar memo protes tidak berpuas hati dengan jawatankuasa Selcat yang kononnya gagal bertindak ke atas tiga aduan mereka sebelum ini.

Antara lain aduan berkenaan penyewaan Pejabat Pusat Khidmat MP Serdang, penyalahgunaan kuasa Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan aduan terdapat Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang tidak menghormati Yang Di Pertuan Agung.

“Saya terkilan dengan tindakan sekumpulan kecil ini dan saya mohon agar jangan menggunakan Selcat sebagai sasaran serangan politik.

“Kalau mereka masih tidak faham fungsi Selcat, saya fikir mereka perlu hadiri kursus mengenai Selcat,” tegasnya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri.

Selcat merupakan sebuah Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor pada tahun 2009 untuk menyemak dan mengimbang (check and balance) pihak pentadbiran Kerajaan Negeri.

Justeru, SELCAT tidak ada kuasa untuk menghukum mana-mana individu tetapi mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana saksi bagi memberi keterangan secara terbuka melalui pendengaran awam bagi mana-mana isu yang berkepentingan awam.

Pemberian keterangan secara terbuka ini membantu dalam meningkatkan tahap ketelusan dalam pentadbiran awam kerana saksi-saksi yang dipanggil akan terletak di bawah pemantauan awam (public scrutiny).


Pengarang :