Selangorkini
NASIONAL

Terus Laksana AES Mahfuz Usul Potong Gaji Menteri Pengangkutan

 

KUALA LUMPUR, 18 OKT : Enggan mengadakan rundingan dan mahu meneruskan Sistem Pelaksanaan Automatik(AES) menyebakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengemukakan usul pemotongan gaji RM10 terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha kepada Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mahfuz yang merupakan Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), beliau kecewa dengan kenyataan menteri seperti yang dipaparkan media semalam di mana kerajaan akan meneruskan sistem AES.

“Yang kita minta semakkan dan kajian semula sistem ini. Alasan yang diberikan tidak menunjukkan memandu laju menjadi punca kemalangan

“Isunya bukan soal had kelajuan, tapi soal sikap manusia,” katanya di lobi Parlimen.

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar dan Penasihat Undang-Undang KASE, Zulhazmi Shariff.

Zulhazmi dalam sidang media sama turut membangkitkan persoalan berhubung jawapan menteri yang menyatakan jumlah pelaburan yang dibuat oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd bernilai RM717 juta.

“Berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Red Flex, Australia, mereka mendapat kontrak (Beta Tegap) lebih 50 juta USD untuk 450 buah kamera kelajuan (speed cam) dan 140 buah kamera mobil.

“Jika ditukarkan kepada ringgit Malaysia jumlahnya RM151,544,578.

“Genoptik Robot dari Jerman bagi syarikat ATES pula bernilai 53 juta USD untuk ‘install’ 550 buah kamera dengan nilai RM160,656,496.

“Jika dicampurkan jumlahnya lebih kurang RM312,201,074 tetapi berdasarkan jawapan yang diberikan bezanya hampir RM404.7 juta,” soalnya.

Jelasnya, kenyataan menteri sebelum ini yang menyatakan AES bukan berkait dengan keuntungan nyata mengelirukan dan sehingga kini masih belum dijawab.


Pengarang :