NASIONAL

TIM : Tubuh RCI Siasat Skandal RM40 juta Untuk Umno Sabah

SHAH ALAM, 29 OKT : Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal sumbangan derma sebanyak RM40 juta oleh seorang ahli perniagaan kepada Umno Sabah.

Timbalan Presiden Transparency International Malaysia(TIM), Prof Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, mana-mana institusi yang diragui ketelusannya maka ia perlu disiasat dan dilaporkan hasilnya kepada umum.

“Sudah ada laporan semacam ada salahlaku dan salahtadbir, maka pihak-pihak berkuasa yang berkaitan perlu mengeluarkan laporan yang terperinci dan penyiasatan oleh pihak bebas perlu untuk melaporkan kedudukan yang sebenarnya,” kata Mohamad Ali ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu bertindak melaksanakan siasatan segera dengan professional agar kepercayaan orang ramai terhadap integriti SPRM melaksanakan tugas dengan adil dan pantas tidak terjejas.

“Dalam kes ini jelas adanya pengaduan dan pernyataan menuntut hak bagi mendedahkan perkara sebenar , maka saya kira pihak SPRM patut membuat siasatan bebas dengan segera supaya warga negara mempunyai kenyakinan penuh terhadap SPRM.

“Jika tiada siasatan segera maka pihak SPRM seolah-olah hanya ‘memilih bulu’ untuk membuat penyiasatan dan melengah-lengahkan laporan yang sudah dibuat yang akan mengurangkan integriti kepercayaan kepada pihak SPRM,” kata Mohamad Ali.

Katanya, kes ini perlu diberi perhatian segera oleh pihak kerajaan kerana ia melibatkan imej Negeri Sabah dengan jumlah wang dengan kadar yang tinggi dan lumayan.

Pada Ogos 2008 lepas, usahawan Sabah Michael Chia didakwa ditahan pihak berkuasa Hong Kong apabila hendak menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur bersama wang tunai AS$16 juta (RM40 juta).

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mahu Bank Negara menyiasat lima pihak berhubung isu dana politik RM40 juta, yang pernah disahkan disumbangkan kepada Umno Sabah tetapi didakwa masih menimbulkan keraguan.

Lima pihak berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pemimpin Umno ?X? yang disebut oleh Ahli Parlimen Tuaran sebagai penerima wang RM40 juta ke akaun peribadinya.

Digesa disiasat juga ialah mana-mana pemimpin Umno lain yang turut tahu mengenai pemindahan wang ini tetapi tidak melaporkan kepada Bank Negara dan usahawan yang didakwa itu,Michael Chia.


Pengarang :