Selangorkini
NASIONAL

Umno Didakwa Dalang MCA Keluar Kenyataan Hina Islam


SHAH ALAM, 24 OKT : Umno didakwa menjadi dalang kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan MCA yang menyerang sensitiviti masyarakat Islam berkenaan isu pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, kenyataan-kenyataan tersebut direka untuk mengalihkan pandangan rakyat berhubung isu rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional.

“Melalui kenyataan-kenyataan ini diharapkan ketegangan akan terhasil melalui mana Umno dan BN boleh mendakwa ianya adalah kerana sikap dan pandangan PAS yang kononnya ekstrem.

“Dengan itu mereka boleh memujuk masyarakat Tiong Hua untuk kembali memberi undi kepada BN,” kata Abdul Rani semasa sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

Ujar beliau, semua pihak khususnya umat Islam disaran untuk bertenang dan tidak bertindak melalui reaksi emosi keterlaluan yang boleh mendatangkan konflik dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Sebaliknya tegas beliau, usaha perlu difokuskan ke arah menjatuhkan MCA dan Umno dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan datang.

“Apabila masyarakat Malaysia dibebaskan daripada dikongkong pemimpin-pemimpin BN yang sering mengadu domba rakyat.

“Maka akan terhasil sebuah negara yang benar-benar bersatu atas dasar saling hormat-menghormati dan pengiktirafan hak asasi setiap kaum dan bangsa,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu MP Shah Alam, Khalid Abdul Samad, Adun Hulu Klang, Saari Sungip dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan.


Pengarang :