Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

YAWAS Tidak Akan Jadi Seperti Amanah Saham Selangor Yang Lingkup Di Bawah Khir

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri hari ini menyangkal dakwaan bekas Menteri Besar, Dr Khir Toyo bahawa Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan lingkup dan gagal menarik minat rakyat Selangor.

Sebaliknya YAWAS yang menguruskan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) tidak akan lingkup kerana YAWAS menerima geran sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri untuk perbelanjaan operasinya.

YAWAS juga mengambil inisiatif untuk menjana pendapatan dari dana yang belum dibelanjakan untuk dilaburkan ke dalam pasaran wang.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Menteri Besar hari ini.

“Dari 2008 hingga 2011, YAWAS menjana pendapatan dari pelaburan ini sebanyak RM622,782 dan ini meringankan kos operasi,” kata Abdul Khalid.

Sambil menerima baik teguran yang dibuat Dr Khir, Abdul Khalid juga menganggap kebimbangan BN itu timbul disebabkan Kerajaan Negeri ketika dipimpin oleh Dr Khir pernah mengalami kerugian hingga Amanah Saham Selangor (Asas) terpaksa ditutup.

Ketika itu menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri juga terpaksa memperuntukan RM200 juta untuk membayar balik kepada pemegang saham terbabit.

Selain itu, dakwaan Dr Khir kononnya skim ini tidak menarik minat rakyat Selangor juga disangkal kerana Jabatan Pendaftaran Negeri Selangor (JPN) tidak memberikan kerjasama kepada YAWAS untuk mendapatkan stastik kelahiran yang layak dikategorikan sebagai rakyat Selangor.

“Jumlah 313,706 tidak boleh dijadikan asas untuk mengukur peratusan pendaftaran kerana jumlah ini termasuk bukan warganegara atau bukan warga Selangor.

“YAWAS mengandaikan hanya 60 peratus daripada jumlah kelahiran ini yang layak mendaftar dalam skim ini dan menjangkakan pencapaian pendaftaran sehingga 33.5 peratus, bukan 19.4 peratus,” ujar Abdul Khalid.

Menteri Besar turut menjelaskan, Sijil Simpanan Tetap untuk perserta Skim TAWAS lewat dikeluarkan berikutan pihak bank menghadapi kekangan dari segi pengurusan dan prosedur bank yang ketat dan sering berubah.

“Sehingga Mei 2012, jumlah pembayaran kepada bank meningkat kepada RM4,159,700 yang melibat 41,597 ahli di mana 24,473 menerima Sijil Simpanan Tetap, 16,748 masih dalam proses dan 30 ribu masih menunggu giliran untuk dihantar kepada bank,” kata Abdul Khalid lagi.


Pengarang :