Selangorkini
SELANGOR

16 Ditahan JAIS Dibicara 20 Disember

SHAH ALAM 5 NOV : Kesemua 16 individu yang ditahan ketika serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Bandar Tasik Puteri, Rawang minggu lalu akan dibicarakan di Mahkamah Syariah pada 20 Disember nanti.

Serbuan tersebut berikutan hasil risikan Bahagian Penguatkuasaan JAIS bahawa terdapat usaha menghidupkan kembali Kumpulan Al-Arqam di dalam satu majlis anjuran Global Ikhwan Sdn. Bhd.

Global Ikhwan merupakan syarikat yang didakwa mempunyai hubungan dengan gerakan Al-Arqam yang diharamkan pada 1994.

Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Husin dalam satu sidang media hari ini memberitahu kesemua mereka  ditangkap di bawah Seksyen 12 (C), Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

“Kesemua mereka ini merupakan Orang Yang Disyaki (OYDS) dan  dibawa ke Mahkamah Syariah Kuang untuk sebutan kes kali pertama.

“Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan bon jamin RM 1000 dan seorang penjamin,” ujar beliau.

Beliau turut ditemani Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad dalam sidang media di bangunan JAIS di sini petang tadi.

Bahagian Penguatkuasaan JAIS sebelum ini mengesan satu program cubaan menghidupkan ajaran dan fahaman al-Arqam yang diadakan di Dataran Global Ikhwan Celebration Hall pada 30 Oktober hingga 1 November lalu.

Majlis tersebut juga didakwa diadakan bagi menyambut ulang tahun kelahiran Ashaari, pengasas Al-Arqam.

Hasil samaran empat anggota JAIS selama dua malam berturut-turut mendapati wujudnya elemen-elemen fahaman dan pegangan al-Arqam.


Pengarang :