Selangorkini
SELANGOR

Adun BN Perlu Desak Kerajaan Pusat Salur Peruntukan Kepada JPS

SHAH ALAM, 27 NOV : Kerajaan Negeri menggesa Adun Umno-BN Selangor mendesak Kerajaan Pusat supaya menyediakan peruntukan secukupnya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, JPS kini beroperasi dalam keadaan kekurangan dana dengan hanya menerima peruntukan tidak melebihi RM1 juta setahun daripada Kerajaan Pusat.

Ekoran itu, JPS menghadapi kesukaran menjalankan tanggungjawab menyelenggara sistem saliran dan perparitan dengan baik di negeri ini.

“Difahamkan pada 2009, JPS hanya menerima sejumlah RM8 juta daripada Kerajaan Pusat untuk kerja-kerja penyelenggaraan, manakala tahun-tahun lain, JPS hanya menerima peruntukan tidak melebihi RM1 juta.

“Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana bernilai antara RM5 juta hingga RM8 juta setahun kepada JPS. JPS juga meminta peruntukan RM1.2 bilion untuk mengatasi masalah banjir di Klang daripada Kerajaan Pusat, namun sehingga kini dananya masih tidak sampai,” katanya.

Ronnie berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Lee Kim Sin (PKR-Kajang) ketika sesi perbahasan Belanjawan 2013 Peringkat Jawatankuasa di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) menggesa pihak JPS untuk mengambil tindakan proaktif dengan mengemukakan senarai keutamaan kepada Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Tertinggi Exco (MTES) untuk melaksanakan program tebatan banjir.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan Kerajaan Negeri meneliti keperluan mendesak bagi pelaksanaan program tersebut.

“Sekiranya tindakan ini tidak diambil, ia akan membebankan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terpaksa berhadapan masalah banjir yang semakin kerap berlaku di negeri Selangor,” katanya.


Pengarang :