SELANGOR

Ahli Majlis Dinilai melalui Laporan Prestasi Ahli Majlis

SHAH ALAM 23 NOV : Setiap ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor akan dinilai melalui Laporan Prestasi Ahli Majlis yang turut merangkumi prestasi pengurusan perbelanjaan yang diperuntukkan kepada mereka,  kata, Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu.

Ronnie menjawab soalan lisan  Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor berkenaan bagaimana Ahli-Ahli Majlis ini dinilai.

“Memang terdapat ahli majlis yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan, tidak baik dan sebagainya.

“Mereka yang tidak kompeten ini akan diberi amaran dan jika masih tidak menepati kriteria kita, maka mereka akan diganti dengan orang baru,” jelas beliau.

Ronnie berkata, seseorang Ahli Majlis perlu berkebolehan dalam merancang penggunaan peruntukan yang diterima untuk tujuan sosial, program-program pembangunan dan kerja-kerja pembaikan kecil.

“Mereka juga perlu bijak menganggarkan jumlah perbelanjaan bulanan dan tidak menggunakan peruntukan di saat-saat akhir,” tegasnya.

Bagaimanapun, penilaian prestasi ahli majlis adalah berbeza berdasarkan sistem yang ditentukan setiap PBT.

Sebagai contoh, beliau memberitahu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menilai ahli majlis berdasarkan kriteria pengurusan program kemasyarakatan, pengurusan kewangan JKP dan pengurusan kerja-kerja segera.

Manakala bagi Majlis Daerah Kuala Langat pula dinilai berdasarkan kehadiran atau penglibatan orang ramai ke program yang dianjurkan.


Pengarang :