Selangorkini
NASIONAL

“Charade of Justice” Kupas Kepincangan Sistem Kehakiman Negara

SHAH ALAM 01 NOV : Peguam, Pawancheek Marican yang pernah menulis buku mengenai perbicaraan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa tahun lalu, kini kembali lagi dengan penulisannya yang terbaru berjudul ‘Charade Of Justice, Anwar’s Third Trial’.

Buku terbabit memaparkan pelbagai kisah sekitar perbicaraan kes-kes mahkamah Anwar sejak 1998 dan analisa yang diutarakan oleh peguam dan kenyataan hakim.

Buku yang berhalaman kira-kira 200 muka surat itu merupakan buku kedua sambungan daripada ‘Charade Of Justice, Anwar’s Trial’ yang diterbitkan dua tahun lalu yang telah menjual 6,000 naskah.

Pawancheek merupakan salah seorang peguam yang terlibat di dalam kes mahkamah Anwar pada tahun 1998 dan 1999.

Ketika ditemui TvSelangor, Pawancheek berkata beliau ‘terpaksa’ menulis mengenai apa sebenarnya yang berlaku supaya generasi masa depan dapat mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Kita mesti rekod apa yang dikatakan, sebab dalam internet ada orang yang dapat ada yang tidak dapat … Bahan-bahan kadang-kadang dicampur aduk … Buku lagi senang untuk kita kekalkan apa yang berlaku.

“Ia tiada beza dengan buku pertama, cuma kes dalam buku pertama, Anwar kalah di mahkamah.

?Kini untuk kes dalam buku ini, Anwar menang contohnya kes yang melibatkan Saiful (Bukhari Azlan),” katanya ketika ditemui selepas perlancaran buku itu oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Quality Hotel. 

Hadir sama, Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jelasnya, buku itu diterbitkan untuk mengajar dan mendidik masyarakat mengenai keadilan dan perjalanan sistem kehakiman negara.

Sementara itu, Anwar berkata beliau berasa bangga kerana Pawancheek bukan sahaja menulis sebagai peguam tetapi juga sebagai pemerhati dari dekat.

“Apa yang unik mengenai buku ini, ianya dapat meninjau persekitaran mahkamah. Saya harap bila kerajaan bertukar dalam pilihanraya depan, sistem kehakiman juga akan turut diperbaiki,” katanya.

Selain itu, Abdul Khalid berkata buku itu amat berguna kepada anak muda yang berminat mempelajari undang-undang dan perlaksanaan sistem undang-undang negara.

Buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu berharga RM 30 senaskah dan boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih.

Pada tahun 1998, Anwar yang merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ditangkap dan dituduh menyalahgunakan kuasa beliau dan meliwat.

Beliau telah didapati bersalah atas tuduhan menyalahgunakan kuasa dan dipenjara selama enam tahun. Pada 2004, beliau dibebaskan setelah mahkamah mendapati beliau tidak bersalah atas tuduhan liwat.

Pada tahun 2008, Anwar sekali lagi dituduh dengan caj liwat tetapi pada Jan 9 2012 mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.


Pengarang :