Selangorkini
SELANGOR

Dana Untuk PWB Akan Ditingkatkan Tahun Depan

SHAH ALAM 05 NOV: Mulai tahun hadapan, peruntukkan untuk Pusat Wanita Berdaya (PWB) akan ditambah bagi merancakkan aktiviti sosio ekonomi berikutan sambutan yang menggalakkan di 44 pusat di Selangor.

Exco Kebajikan, Kebudayaan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata banyak program menarik akan ditambah termasuk program tersusun untuk menjana pendapatan dan pengurusan kewangan keusahawan kecil.

Manakala bagi program yang tidak tersusun antaranya kursus masakan, menjahit dan teknologi maklumat, boleh diajar oleh penyelia pusat atau berkongsi sesama lain.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM 1.33 juta melalui Geran Selangorku termasuk peruntukan peralatan seperti komputer, masakan dan jahitan.

“Peruntukkan itu diberi secara berperingkat, tetapi secara Adun Batu Tiga, saya sendiri menyumbangkan satu per tiga iaitu RM 150,000 daripada jumlah peruntukkan Dun untuk program di pusat Dun saya.”

Beliau katanya demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Dewan PWB,  Seksyen 24, di sini.

Tambahnya, kebanyakkan wanita yang tampil untuk menghidupkan pusat itu bukan hanya memikirkan konteks kewangan tetapi mahu memperkembangkan atau berkongsi kepakaran sedia ada.

“Kita lebih berkonsepkan untuk wanita berkumpul bukan ‘bergosip’. Mulai tahun depan saya mahu melihat semua pusat itu perlu ada pengisisan. Oleh itu, pembangunan yang berkapsiti mesti dirancang dgn baik,” katanya.

Dijangka kesemua 56 DUN akan mempunyai satu PWB pada akhir tahun ini.


Pengarang :