Selangorkini
NASIONAL

Geran Selangorku Dipastikan Sampai Ke Tangan Rakyat

SHAH ALAM, 29 NOV : Proses permohonan dan kelulusan Geran Selangorku diperketatkan untuk memastikan kesemua dana itu sampai kepada rakyat dan bukannya disalurkan kepada orang tengah, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, dengan cara itu, rakyat akan mula memberi sepenuh kepercayaan kepada ketelusan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

?Kita buat konsep ini kerana kita dapati walaupun Kerajaan mempunyai geran, tetapi ia disalurkan kepada orang tengah.

?Orang tengah akan gunakan duit bukan sahaja untuk pelaksanaan tetapi ada kos di sebaliknya. Oleh sebab itu, kita ingin mula kurangkan itu supaya mereka boleh diukur tugasnya.

?Kita akan buat laporan berapa banyak perkara yang dilakukan oleh Geran Selangorku untuk tahu siapa yang dapat.

?Dengan cara itu rakyat akan mula memberikan kepercayaan kepada kita yang setiap ringgit duit rakyat digunakan sampai kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Gan Pei Nei (DAP-Rawang) berhubung aduan segelintir pihak yang sukar memohon Geran Selangorku daripada Kerajaan Negeri.

Tambah Abdul Khalid, program infrastruktur menggunakan lebih 80 peratus daripada peruntukan Geran Selangorku, sementara program kebajikan kepada bekerja (workfare) hanya digunakan dalam skala kecil sahaja.

Beliau berkata, peruntukan yang masih belum habis digunakan akan diteruskan sehingga tahun depan.

Katanya, bagi membuktikan pelaksanaan Geran Selangorku dibuat secara telus, segala maklumat tentang penggunaan serta permohonan dimasukkan ke dalam laman web supaya perkembangannya diketahui semua pihak.

“Saya telah meminta penjawat awam menubuhkan jawatankuasa untuk menentukan keutamaan permintaan supaya kita berlaku adil terhadap geran dan penggunaan dana tersebut.

?Geran Selangorku adalah pemangkin di mana hasilnya digukana untuk kepentingan orang ramai berasaskan konsep hasil negeri untuk rakyat,” katanya lagi.


Pengarang :