Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

KASE Terima Lebih 100 Aduan Saman AES

SHAH ALAM 16 NOV: Kaunter penerimaan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dibuka Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) kini menerima lebih 100 aduan daripada pengguna jalanraya yang menjadi mangsa.

Penasihat Undang-Undang KASE, Zulhazmi Sharif berkata, kaunter yang dibuka sejak 21 November lalu menerima banyak aduan daripada pengguna jalanraya di seluruh negara yang menerima surat saman melalui kamera AES.

Katanya, beliau bersama Jawatankuasa KASE akan membuat pengumuman dalam jangka masa terdekat bagi memberitahu tindakan seterusnya yang akan diambil bagi membantu penerima saman tersebut.

“Setakat ini kaunter aduan masih dibuka dan kita belum membuat pecahan mengikut negeri dan kita akan membuat pengumuman berkaitannya pada minggu hadapan kerana kes.

“Ini kerana tarikh paling awal ke mahkamah melibatkan penerima saman itu adalah pada 7 Disember 2012 dan kita akan mengagihkan peguam-peguam kita bagi membantu mereka,” katanya kepada TVSelangor hari ini.

Sementara itu, kaunter yang dibuka dua minggu sekali bermula jam 12 tengah hari sehingga 2 petang itu bertujuan memudahkan orang awam yang menerima saman AES mendapatkan nasihat dan khidmat peguam yang diberikan secara percuma.

“Di Selangor sendiri terdapat belasan orang yang menerima saman AES dan dimaklumkan hanya dua kawasan di Selangor yang mempunyai kamera itu iaitu di kawasan Kajang.

“Lebih mengejutkan, terdapat seorang pengguna jalanraya menerima tiga saman AES di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) kerana ia merupakan laluan hariannya,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menyatakan sepasukan peguam disediakan jika penerima saman AES bersetuju ke mahkamah dan perkhidmatan peguam dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS (JUHAM) akan disediakan kepada mereka yang terlibat.


Pengarang :