Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Negeri Cadang Tambah Lebih Banyak Tadika Rakyat

ccsb-ads

PETALING JAYA, 10 NOV : Kerajaan Negeri bercadang untuk membina tiga lagi Tadika Rakyat di Serendah, Kapar dan Dengkil bagi membolehkan kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah menerima pendidikan di peringkat awal.

Pembinaan tadika tersebut merupakan kesinambungan daripada dua tadika sedia ada iaitu di Taman Sentosa, Klang dan Kampung Lindungan di Petaling Jaya.

Oleh itu Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menyeru ibubapa yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka kepada tadika-tadika ini.

“Tadikan ini terbuka kepada semua kaum. Justeru, penduduk di kawasan ini jangan lepaskan peluang untuk mendaftar anak-anak anda.

“Selain bayaran yuran yang rendah, anak-anak juga akan terdedah dengan pendidikan asas di peringkat awal,” katanya lagi.

Katanya, pendidikan pra-sekolah adalah langkah awal untuk mempersiapkan kanak-kanak sebelum menempuh alam persekolahan kelak.

“Berdasarkan kajian, masih terdapat 30 peratus kanak-kanak yang tidak mendaftar di mana-mana tadika kerana tidak mampu untuk membayar yuran bulanan.

Ekoran daripada itu, kebanyakan kanak-kanak ini ketinggalan dari aspek pendidikan seperti tidak tahu menulis, mengira ataupun membaca.

Hal ini menyebabkan mereka akan tercicir apabila masuk ke sekolah rendah nanti dan menimbulkan masalah serius untuk jangka masa panjang.

“Kurangnya pendedahan pendidikan di peringkat awal antara punca yang menyumbang kepada gejala sosial,” katanya semasa Majlis Perasmian Tadika Rakyat Kampung Lindungan di sini, pagi tadi.

Tadika Rakyat di Kampung Lindungan merupakan cawangan kedua yang dibina Kerajaan Negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO), Child Information, Learning and Development Centre (Child).

Tadika tersebut dikhaskan untuk keluarga berpendapatan bawah RM 1,500.

Di samping menyediakan pembelajaran selesa, murid-murid juga hanya dikenakan bayaran serendah RM 20 sebulan.

Tadika yang bernilai kira-kira RM 460,000 itu dilengkapi lapan buah kelas dan mampu menempatkan kira-kira 20 orang murid setiap kelas.

Kerajaan Negeri telah memberi RM 50,000 untuk setiap tadika itu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib.


Pengarang :