Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Selesaikan Masalah 10 Tahun Penduduk Lestari Perdana

SUBANG JAYA, 5 NOV : Sekumpulan 129 pemilik rumah di Lestari Perdana semalam bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang berjaya menyelesaikan masalah hak milih tanah mereka yang berlanjutan lebih 10 tahun.

Kebanyakan pemilik rumah ditemui menjelaskan mereka menghadapi masalah untuk berurusan dengan pihak tertentu seperti institusi kewangan kerana tidak memiliki geran tanah.

Mereka menghadapi masalah selepas pemaju perumahan itu gagal membayar premium tanah kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pekerja Swasta, Abdul Ghani Saari, 45, dari Zon 9 berkata ketiadaan geran tanah telah mencacatkan pembangunan di perumahan tersebut.

“Memang banyak masalah dari segi kebersihan, kemudahan infrastruktur serta landskap.

?Sebelum ini kami sudah membayar (premium) kepada pemaju dan dia kata akan serahkan surat hakmilik ini kepada kami tetapi selepas itu senyap sebegitu sahaja,? kata Abdul Ghani yang telah menetap di situ selama 10 tahun.

“Apa dilakukan Kerajaan Negeri ni bagus dan terima kasih,” katanya kepada TVSelangor selepas menerima surat hakmilik daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid menyerahkan dokumen hakmilik Kepada Pembeli Rumah Teres Zon 6, 7 dan 9 Lestari Perdana di satu majlis di Dewan MPSJ semalam.

Pengurus projek, Yusman Jusof, 40, dari Zon 6 yang menetap di situ kira-kira lapan tahun berkata, dia menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman bank kerana tidak ada surat hakmilik.

“Satu usaha yang bagus dari Kerajaan Negeri bagi menjaga hak dan kepentingan pemilik rumah,” katanya.

129 pemilik rumah itu adalah daripada jumlah keseluruhan 303 orang yang telah membayar premium RM 1,460 seperti ditetapkan pihak berkuasa negeri.

Abdul Khalid dalam sidang media selepas itu menjelaskan masalah itu kerana pemaju Fast Creasent Sdn Bhd (Fast Creasent) gagal membayar premium sebanyak RM 12.19 juta mengikut nilaian tanah pada 2002.

“Pemaju tidak menjalankan tangungjawab dengan tidak membayar premium.
Penduduk yang memiliki rumah telah membuat permohonan untuk mendapatkan geran tanah iaitu sehingga kini lebih daripada 10 tahun.

“Mereka bersetuju dengan cara dikendalikan (Kerajaan Negeri) iaitu mereka menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri mengembalikan hartanah mereka dalam bentuk geran,” katanya.

Abdul Khalid berkata, masalah berlaku kerana Kerajaan Umno-BN dahulu yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan Kanun Tanah Negara.

“Inilah buktinya (bekas Menteri Besar) Khir Toyo tidak menjalankan tugasnya.

?Kalau dia ikut cara yang kita lakukan ini, sudah tentu masalah tidak timbul pada hari ini.

?Masalah timbul ialah pentadbiran Kerajaan Negeri yang lepas tidak mentadbir mengikut tataracara yang dikehendaki di bawah Kanun Tanah Negara.

“Oleh sebab itu terdapat keadaan di mana akhirnya Pejabat Tanah dan Galian serta Pihak Berkuasa Tempatan menghadapi masalah untuk menyelesaikannya termasuk urusan pemilikan tanah.” katanya.

Menteri Besar berkata, melalui dasar kerajaan yang lama, kerja-kerja tanah dan pembangunan di atas tanah boleh dijalankan setelah kebenaran merancang serta pelan bangunan diluluskan PBT.

Ini berlaku walaupun premium dan dokumen hakmilik belum diselesaikan dan dikeluarkan.

Namun dasar tersebut, telah diberhentikan kerana ia mengakibatkan banyak projek perumahan terbengkalai.

Turut hadir, pada majlis semalam Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi dan Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Kamarulzaman Jamil.


Pengarang :