SELANGOR

Kerajaan Negeri Salur RM40,000 Menaiktaraf Peparitan Atasi Banjir

SHAH ALAM, 11 NOV: Masalah kejadian banjir yang kerap melanda Kampung Jenjarum akan dapat di atasi sepenuhnya apabila Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan sejumlah RM40,000 bagi mengatasi masalah tersebut.

Peruntukkan yang disalurkan melalui pejabat Adun Teluk Datuk itu akan digunakan menaiktaraf dan penyelengaraan peparitan di sepanjang Jalan Kampung Jenjarum di kampung terbabit.

Menurut Adun Teluk Datuk, Philip Tan Choon Swee, walaupun kerja-kerja projek tersebut hanya dimulakan selewat-lewatnya pada bulan hadapan, tetapi tindakan awal untuk mengawal banjir dari terus berlaku telah diambil.

“Dahulu bila banjir, empat atau lima hari baru air turun, tetapi sekarang jarang berlaku sebab sebelum ini kita dah bersihkan parit-parit dan buka sekatan di parit berhampiran gerai-gerai yang terdapat di situ.

“Cuma sekarang sebab hujan terlalu lebat setiap hari dan air pula sedang pasang¬† menyebabkan air banjir naik, tetapi tidaklah seteruk dahulu dan ianya berlaku dua hingga tiga jam sahaja sudah surut semula, tak makan masa berhari-hari macam dahulu.

“Kalau projek naiktaraf siap nanti saya yakin masalah banjir tak berlaku lagi,” kata beliau.

Selain itu Choon Swee juga meminta agar Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bertemu dengan sebuah syarikat pemaju yang sedang giat menyiapkan sebuah projek perumahan berhampiran kawasan yang sering dilanda banjir itu.

“Saya dah minta Pegawai MDKL agar bertemu dengan pemaju dan arahkan mereka segera bina sistem peparitan bagi projek perumahan mereka dengan lebih sesuai dan sempurna.

“Biasanya pemaju akan bina bangunan dahulu, peparitan kemudian dan ini menjadikan air di kawasan itu mudah mengalir di kawasan kampung,” katanya lagi.


Pengarang :