Selangorkini
NASIONAL

Khalid Ibrahim Akan Pertahankan Bandar Tun Razak


KUALA LUMPUR, 09 NOV : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan kembali sebagai calon kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan datang.

Sambil mengumumkan pencalonan Abdul Khalid, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada pengundi Bandar Tun Razak agar memberikan sokongan padu kepada Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor.

Anwar turut membayangkan Abdul Khalid juga akan diberi peranan besar di peringkat persekutuan sekiranya Pakatan Rakyat menakluki Putrajaya dalam pilihan raya nanti.

“Tan Sri Khalid ni Menteri Besar pun dia ada peranan besar, di Kerajaan Persekutuan pun dia ada peranan besar, jaga ekonomi negara,” ujar Anwar dalam ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di flat Sri Labuan, Cheras malam tadi.

Pada PRU-12 empat tahun lalu, Abdul Khalid mengalahkan Datuk Tan Chai Ho dari Umno-BN dengan majoriti 2,515 undi untuk memenangi kerusi Bandar Tun Razak.

Selain Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Abdul Khalid juga merupakan Adun Ijok, Selangor.

Program Jelajah Merdeka Rakyat yang diadakan malam tadi menerima sambutan mengalakkan apabila dianggarkan lebih 2,500 orang telah membanjiri tapak ceramah walaupun dalam keadaan hujan dan padang yang becak.

Selain Anwar, turut menyampaikan ucapan dalam program malam tadi adalah Abdul Khalid, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

 


Pengarang :