SELANGOR

Lawatan Zoo Negara Anjuran Dun Sg Pinang Tanam Minat Alam Semulajadi

AMPANG, 9 NOV : Keceriaan pelajar Tahun 3, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pin Hwa 1 jelas terpancar di wajah mereka apabila dibawa melawat Zoo Negara.

Kunjungan kali pertama sekolah itu dibawah program ‘Ranger Kancil Zoo Negara Tour’ anjuran Pejabat Adun Sungai Pinang memberi pendedahan dan menanam minat pelajar terhadap alam semulajadi.

Menurut guru Bahasa Cina, Loo Boon Pei, ada di antara murid-murid tersebut yang datang ke Zoo Negara buat pertama kali.

Guru Pendidikan Jasmani dan Sains, Shawn Khor Joo Huat pula berpandangan, aktiviti sebegini mampu mengembangkan lagi minda pelajar supaya lebh bergerak aktif dalam proses pembelajaran.

“Satu program berfaedah. Saya dapat lihat murid begitu teruja dan gembira sepanjang lawatan ini.

“Layanan yang diberikan oleh zookeeper juga baik. Mereka menerangkan mengenai apa yang terdapat di sini dan pelajar dapat bertanya secara aktif.

“Untuk murid, ini sesuatu berfaedah dan bermakna. Mereka bukan datang bersiar-siar sahaja, tetapi dapat belajar sesuatu yang baru,” katanya.

Program kali ketiga ini disertai seramai 190 orang pelajar.

Sebelum ini, pejabat DUN menganjurkan program ini untuk SJKC Pin Hwa dan SJKC Kong Hoe.

Secara keseluruhan, seramai 525 orang pelajar dan 56 guru dari Dun Sungai Pinang telah memperoleh manfaat dari program ini.

Pihak Dun memperuntukkan hampir RM 29,000 untuk tiga kunjungan ke Zoo Negara ini termasuk kos sewaan bas dan makanan.

Menurut Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim, program ini nyata memberikan peluang kepada pelajar mendekati sendiri apa yang terdapat di Zoo Negara.

“Program ini merupakan salah satu cara membantu sekolah untuk melengkapkan isi kandungan pendidikan.

“Kita lihat reaksi positif dari pelajar yang teruja apabila mereka dibawa ke sini.

“Mungkin ada diantara ibu bapa yang sibuk, jadi kita berpandangan program sebegini bermanfaat kepada mereka,” katanya ketika ditemui di ruang legar ‘Show Amphitheatre’, Zoo Negara.

Teng, yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor, berkata beliau akan mencadangkan agar program ini menjadi sebahagian dari program pendidikan kerajaan Selangor.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pendidikan Zoo Negara, Junaidi Omar berkata pihaknya sangat mengalu-alukan program interaktif seperti ini dengan sekolah.

“Kita bagi mesej dan pendidikan. Ini merupakan satu platform untuk berkomunikasi dengan konsep reakreasi dan pendidikan,” katanya.


Pengarang :