Selangorkini
SELANGOR

PBT Dicadang Guna Media Sosial Respon Aduan Rakyat

SHAH ALAM, 21 NOV: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hari ini disaran memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dengan penggunaan aplikasi popular seperti Face Book (FB), Twitter dan Emel agar lebih responsif terhadap aduan rakyat di Selangor.

Cadangan tersebut dibuat oleh Adun Rawang, Gan Pei Nei ketika membahaskan Belanjawan 2013 yang dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Isnin lalu.

“Dengan cara ini lebih memudahkan rakyat membuat aduan hanya dengan PBT membuka FB, Twitter atau Emel pegawai.

“Sebelum ini saya sendiri pernah buat aduan tetapi mungkin disebabkan kesibukan pegawai menyebabkan tindakan lambat diambil.

“Selalunya alasan yang diberi samada tiada peruntukan atau dalam proses dan tiada memberi had masa aduan diselesaikan,” kata beliau.

Pei Nei turut mencadangkan agar setiap PBT mempamirkan peta aduan agar rakyat lebih memahami prosedur tindakan terhadap aduan yang mereka kemukakan.

Beliau juga memberikan penekanan kepentingan memberikan kelulusan segera kepada projek-projek yang memberi manfaat kepada ekonomi rakyat dan negeri.


Pengarang :