Selangorkini
SELANGOR

Pendapatan Pesawah Guna Teknik Padi SRI Meningkat

SUNGAI BESAR,12 NOV : Pesawah padi yang menggunakan kaedah Sistem Intensifikasi Padi (SRI) menyatakan hasil pendapatan mereka semakin meningkat sejak menggunakan kaedah itu.

Kaedah SRI itu merupakan salah satu projek di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) bersama Jabatan Pertanian Negeri Selangor yang mendapat sokongan kuat daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk meningkatkan hasil pendapatan pesawah di negeri ini.

Sistem itu yang diperkenalkan kepada pesawah di sekitar Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar sejak kira-kira tiga tahun lepas semakin mendapat perhatian pesawah kerana sistem itu terbukti mampu membawa pulangan hasil yang lebih baik berbanding cara konvensional ketika ini.

Menurut pesawah, Fadzlin Taslimin, 60, berkata sejak menggunakan kaedah SRI  beberapa musim lepas penamanan pokok padi lebih subur dan tidak perlu menggunakan racun kimia yang  boleh mendatangkan ancaman keselamatan.

Ujarnya, kos yang digunakan kini hanya sekitar RM1600 berbanding lebih RM5,000 sebelum ini.

“Pada musim kali ini saya menjangkakan hanya akan mengeluarkan kos kurang RM1,000,” kata Fadzlin ketika Majlis Pelancaran Benih Padi SRI di Tali Air 14 Simpang Lima di sini.

Mohd Subki, 40, berkata, kesihatan beliau semakin sihat kerana tidak perlu bergelumang mengggunakan pelbagai jenis racun kimia yang boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatannya.

Katanya, hasil padi yang diperolehi beliau kini mampu mendapat mencecah sehingga 10 tan berbanding hanya 5 tan sebelum ini dan menjangkakan akan bertambah baik lagi dalam beberapa musim akan datang.

Sementara itu, menurut Penasihat Padi SRI Selangor, Noorazimah Taharim yang memberi penjelasan berkenaan penggunaan kaedah itu berkata, pesawah boleh menjimatkan penggunaan air di sawah sehingga 50 peratus lantas mengatasi masalah pengairan sawah padi ketika waktu musim kemarau.

Katanya melalui kaedah SRI itu petani boleh menghasilkan baja dan pencegah serangga yang boleh dan mudah diperolehi di persekitaran kawasan sekeliling kampung.

Pesawah boleh menghasilkan baja daripada rebung, siput gondang ,buah nenas, labu kayu, kangkung, bayam, bonggol pisang, pisang, koko, sabut kelapa, putik kelapa, kulit telur dan tulang.

Manakala untuk membuat pencegah serangga perosak, pesawah boleh menggunakan bawang putih, cili, daun Durian Belanda, daun mambu, lengkuas, halia, serai wangi, buah labu kayu dan tembakau.

Ujarnya, kaedah ini juga hanya memerlukan kira-kira 5 kilogram benih untuk sehektar termasuk untuk sulaman yang akan menjimatkan hampir 90 peratus berbanding cara biasa.

“Peningkatan hasil yang boleh dicapai adalah sehingga 11 tan sehektar dan terdapat juga laporan mengatakan hasil boleh dicapai sehingga 15 tan sehektar di Indonesia, India,China dan Afghanistan melalui kaedah SRI yang sudah banyak digunakan oleh negara di dunia,” ujarnya.


Pengarang :