Selangorkini
SELANGOR

Pengguna Lebuhraya SKVE Disaman AES Diminta Serah Butiran kepada KASE

KUALA LUMPUR, 5 NOV – Pengguna jalan raya yang menerima notis saman berhubung kesalahan kelajuan yang melibatkan kamera AES khususnya di KM6.6 Jalan Kajang-Puchong SKVE diminta supaya menghantar butiran saman mereka kepada Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Ini kerana, butiran had kelajuan yang tertera pada notis yang dikeluarkan nyata bercanggah dengan had yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti dipaparkan di laman web rasmi mereka.

Penasihat Perundangan KASE, Zulhazmi Shariff berkata, terdapat pengurangan had laju kepada 80 kilometer sejam (km/j) di kawasan berkenaan sedangkan had kelajuan yang ditetapkan adalah 90 kilometer sejam.

Namun, berdasarkan aduan yang diterima, terdapat pemandu yang disaman pada kelajuan 91km/j walhal Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Jaafar Mohamed dalam kenyataan di New Sunday Times berkata, terdapat kelonggaran had kelajuan (buffer) 10km/j pada setiap kamera AES mengikut setiap had laju yang ditetapkan.

“Saman yang dikeluarkan 80km/j. ini bukan buffer tapi pengurangan had kelajuan.

“Buffer patut jika had kelajuan 90km/j, dianjak kepada 100km/j. Saman bermula pada kelajuan 101km/j. Di mana buffer?” soal Zulhazmi.

Jelasnya lagi, kekeliruan turut berlaku terhadap lokasi mahkamah kerana penerima notis berkenaan diarahkan ke Majistret Kajang sedangkan berdasarkan paparan JPJ sepatutnya dirujuk kepada Majistret Sepang.

Justeru, KASE mendesak semua saman tersebut ditarik balik dan saman yang dibayar dipulangkan kembali atau JPJ sendiri akan berhadapan saman balas atas kecuaian mereka.

Beliau turut membangkitkan keadaan paparan gambar yang disertakan pada notis saman AES yang tidak menyatakan butiran had laju berbanding notis saman yang dikeluarkan oleh polis trafik.

Setakat ini, lebih 20 orang pengadu mengemukakan aduan saman di kawasan berkenaan.

Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghantarkan butiran melalui email [email protected]

Dalam pada itu, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan ‘keengganan’ Kabinet untuk menagguhkan perlaksanaan AES yang dilihat seolah-olah Menteri Kabinet mempunyai ‘kepentingan’ dalam perkara ini.

Mahfuz sekali lagi mengulangi kesediaan KASE menyediakan pasukan guaman percuma bagi membantu mereka yang menerima saman AES.


Pengarang :