Selangorkini
SELANGOR

Pesawah Perlu Kembali Amal Pertanian Mesra Alam

SUNGAI BESAR, 12  NOV : Pesawah digalakkan melaksanakan penanaman padi yang mesra alam dengan menggunakan baja organik dalam usaha mengurangkan kos daripada menggunakan baja kimia yang harganya semakin meningkat dari masa ke semasa.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, negeri Selangor melangkah ke depan dalam pelaksanaan pertanian mesra alam dengan menggalakkan para petani menggunakan teknik Sistem Intensifikasi Padi (SRI) bagi mengurangkan kos penanaman padi dan pencemaran air.

“Petani yang berani perlu melangkah menggunakan baja organik dan secara berperingkat meninggalkan penggunaan baja kimia,” katanya.

Menurut beliau, apabila pesawah menggunakan baja organik maka secara tidak langsung akan mengurangkan kadar bahan kimia yang wujud di sungai dan tali air.

“Akhirnya nanti apabila menggunakan kaedah mesra alam ini, ikan-ikan akan kembali ke bendang, sekarang ikan-ikan ini berkurangan disebabkan menggunakan pelbagai jenis racun yang mengancam hidupan ikan,” katanya semasa Majlis Perasmian Benih Padi SRI di Tali Air 14, Simpang Lima di sini.

Sementara itu, Exco Pertanian Dan Industri Asas Tani Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, amalan pertanian yang lestari alam ini akan memberikan keuntungan jangka panjang kepada generasi akan datang.

Ujarnya, kaedah SRI ini akan diperluaskan di seluruh Negeri Kedah dan usaha pemberi penerangan serta tunjuk ajar kepada pesawah akan diperluaskan.

“Amalan lestari alam ini lebih mudah didekati dan memikat hati para petani yang dikawasan masyarakat miskin kerana bahan untuk membuat baja boleh didapati di sekeliling mereka,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan kaedah yang mesra alam ini adalah untuk memastikan kesejahteraan alam sekitar dalam jangka masa panjang di kawasan bendang-bendang sawah yang menjadi sumber makanan.

“Kaedah ini kita bawa kepada masyarakat untuk digunakan ilmu-ilmu ini untuk mensejahterakan rakyat dan memastikan pengeluaran makanan mencukupi ekoran pertambahan penduduk dan kawasan pertanian yang semakin mengecil,” katanya.


Pengarang :