Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

PM Tak Payah Tunggu Pilihanraya Nak Batalkan Projek Kondo Batu Caves

SHAH ALAM, 19 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh terus membatalkan projek kondominium di Batu Caves tanpa perlu menunggu saat mengambilalih pentadbiran Selangor.

Sekiranya Najib benar-benar jujur, beliau boleh menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk memberhentikan projek itu kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.

“Beliau boleh membatalkan permit penjualan dan iklan projek (sales and advertising permit) sebab projek pembinaan 29 tingkat kondominium ini adalah “service apartment”.

“Kalau Perdana Menteri benar-benar jujur dan ikhlas mahu memberhentikan projek ini, dia hanya perlu membatalkan permit berkenaan.

“Atau cara yang lain, dia boleh memberi arahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membatalkan lesen pemaju.

“Setiap pemaju perlukan lesen sebelum membuat sebarang projek pembinaan.

“Dalam perkara ini bila menteri berkaitan menerima arahan dari Perdana Menteri maka tiada sebarang projek boleh dijalankan,” katanya dalam sidang media selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Ronnie menjelaskan Najib tentunya memaklumi akan perkara itu atau sengaja “buat tak tahu” akan perkara itu.

Projek pembinaan kondominium 29 tingkat itu telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semasa pentadbiran Umno-BN pada 2007.

Pada bulan lalu, masyarakat Hindu mengadakan demonstrasi di kompleks kuil Batu Caves dan mendesak agar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membatalkan projek itu.

Dalam majlis sambutan Deepavali di Batu Caves pada 13 November lalu, Najib mengumumkan Umno-BN akan membatalkan projek tersebut sekiranya gagasan itu kembali mentadbir Selangor.

Dalam masa sama, Ronnie, yang juga Adun Pandamaran berkata, Kerajaan Negeri memang berhasrat untuk membatalkan projek tersebut tetapi ia perlu mengikut prosedur yang betul.


Pengarang :