Selangorkini
SELANGOR

Rakyat Terpaksa Berdepan Dua Saman Polis, JPJ

KUALA LUMPUR, 5 NOV : Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar melahirkan kekecewaan ekoran rakyat terpaksa berhadapan dua bentuk saman.

Pertama saman yang dikeluarkan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kedua saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Reaksi ini sebagai mengulas jawapan Sesi Soal Jawab Dewan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak akan memansuhkan saman postal (Notis Pol 170A) walaupun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan.

“Dua kementerian menjadikan aktiviti menyaman pengguna kenderaan sebagai agenda bersama. Sepatutnya PDRM kena tumpu kes jenayah.

“Daripada jumlah saman yang dikeluarkan, hampir separuh yang bayar saman ternyata tak faham, tapi terus bayar sahaja sebab takut kena naik turun mahkamah. Kerajaan kena jelaskan bagaima ia beroperasi, bukan terus saman,” katanya

Timbalan Menteri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, saman postal itu bertujuan memberi kesedaran kepada pemandu jalan raya agar memandu secara berhemah dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Saman postal ialah notis yang dikeluarkan PDRM kpada pemilik kenderaan yang berdaftar.

Bagi pemilik kenderaan yang gagal memberikan maklumat terhadap notis dalam tempoh yang ditetapkan, pemilik dikenakan saman kerana melakukan kesalahan.

Abu Seman dalam jawapannya memberitahu, sebanyak 180,062 saman postal dikeluarkan sepanjang tempoh Ops Selamat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri bermula 12 hingga 26 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 52,362 saman dapat diselesaikan.


Pengarang :