Selangorkini
SELANGOR

SAMM Cabar Kerajaan Benar Peguam Perancis Masuk Malaysia

KUALA LUMPUR 22 NOV : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengalu-alukan dan sedia menyambut kedatangan peguam Perancis ke Malaysia untuk merungkai isu pembelian kapal selam Scorpene dalam sebuah sesi taklimat khusus kepada ahli parlimen Malaysia.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan dalam kenyataan media menyeru Ahli Parlimen BN dan Pakatan Rakyat harus bersama mendengar taklimat dari peguam terbabit kerana ia membabitkan imej negara dimata antarabangsa.

“Namun sehingga hari ini masih belum ada sebarang kata putus dari pihak Kerajaan Malaysia membenarkan atau tidak kemasukkan peguam Perancis untuk memberi taklimat mengenai skandal Scorpene.

“Sikap kerajaan yang membisu ini bukan sahaja menimbulkan lebih banyak persoalan malah menyebabkan persediaan untuk sesi taklimat yang diatur terganggu sehingga terpaksa ditangguh minggu depan,”kata beliau.

Menurut Edy Noor sekiranya tiada berlaku rasuah atau apa jua kesalahan serius maka tiada sebab untuk peguam dari Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham dihalang untuk masuk ke negara ini.

“Apakah faktor yang menyebabkan kerajaan takut sehingga peguam yang sama pernah diheret keluar dari negara ini pada 22 Julai tahun lalu?

“SAMM dengan ini mencabar kerajaan Malaysia supaya berani atas nama kebenaran untuk memberi laluan kepada peguam Perancis ini masuk ke Malaysia. Kerajaan juga digesa untuk memberi jawapan kebenaran lebih awal, boleh atau tidak boleh? Kerajaan perlu berani dan jangan jadi penakut walaupun untuk katakan ‘tidak boleh’,” cabar beliau.

Jelasnya, SAMM juga bercadang membawa William Bourdon ke Jelajah Scorpene SAMM-Suaram siri ke-5 di Kuala Terengganu pada 30 November ini.

Kehangatan isu Scorpene berada di kemuncaknya apabila SAMM bersama Suaram sedang dalam jelajah ke seluruh negara melalui kempen LeTourDeScorpene dan disambut hebat dalam 4 siri sebelumnya di empat buah negeri.


Pengarang :