NASIONAL

Tarik Balik Dakwaan Rafizi Atas BAFIA


SHAH ALAM, 3 NOV : Peguam PKR membidas kenyataan firma guaman Shafee & Co yang medesak Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk berdiri teguh dan teruskan pendakwaan terhadap Rafizi Ramli dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Kedua-dua peguam yang mewakili Rafizi dalam kes itu, N Surendran dan Latheefa Koya berkata, permintaan Shafee & Co itu “mementingkan diri sendiri dan tidak munasabah”.

Mereka berkata, penangkapan dan pendakwaan terhadap Rafizi atas Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (BAFIA) perlu ditarik balik kerana Rafizi bertindak atas kepentingan awam apabila beliau mendedahkan dokumen kewangan NFCorp.

“Pendedahan Rafizi adalah perbuatan awam bersemangat yang sepatutnya tidak membawa kepada tuduhan jenayah yang diletakkan terhadapnya,” kata kedua peguam tersebut dalam satu kenyataan bersama.

Rafizi dibawa ke mahkamah kerana mendedahkan dokumen kewangan NFCorp dalam usaha untuk mendedahkan salahguna pinjaman berjumlah RM 250 juta syarikat penternakan lembu itu.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97 (1) Akta BAFIA dan boleh dipenjarakan maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM 3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pinjaman itu telah diberikan kepada NFCorp, yang dikendalikan oleh ahli-ahli keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, untuk mengendalikan NFC.

“Pihak Peguam Negara perlu menggunakan budi bicara untuk tidak mendakwa Rafizi atas dakwaan BAFIA kerana beliau mendedahkan untuk faedah rakyat dan tindakan berani ini perlu dihormati,” kata mereka.


Pengarang :