Selangorkini
SELANGOR

Tiada Lesen Baru Untuk Pusat Siber, Rumah Urut Sejak 2008

SHAH ALAM 21 NOV : Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada Mac 2008,  Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak lagi meluluskan sebarang permohonan lesen bagi rumah urut, pusat hiburan awam dan pusat siber.

Bagaimanapun, menurut Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu, premis yang mempunyai lesen sebelum 2008 masih boleh memperbaharui lesen mereka.

“Lesen mereka masih boleh diperbaharui setiap tahun selagi tidak melanggar syarat-syarat lesen dan undang-undang sedia ada,” jelas Ronnie ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz di Sidang DUN pagi tadi.

Ronnie juga memaklumkan dewan bahawa lesen baru hanya diberikan untuk pusat penjagaan kesihatan seperti refleksologi, aromaterapi, fisioterapi, spa dan sauna serta gimnasium.

Ini termaktub dalam Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan.

Sementara itu, bagi aktiviti pusat hiburan pula, lesen baru hanya dibenarkan bagi aktiviti pusat istirehat dan pusat hiburan keluarga.

Antara lain ialah karaoke keluarga, kiosk karaoke, pusat bowling, ‘fun fair’ dan pusat hiburan keluarga yang menyediakan beberapa bentuk hiburan seperti ‘kiddyride’ dan mesin simulator.

“Mereka juga perlu mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan iaitu tidak menghidangkan atau menyediakan minuman keras kepada pelanggan,” tegas Ronnie yang juga Adun Pandamaran.

Sejak 2008 sehingga kini, sejumlah 179 lesen pusat penjagaan kesihatan, 1,278 lesen pusat hiburan keluarga dan istirehat serta 224 lesen hotel bajet dikeluarkan Kerajaan Negeri.


Pengarang :