Selangorkini
SELANGOR

‘Ulat Arab’ SPAD Didakwa Gagal Lunas Tanggungjawab

SHAH ALAM, 11 NOV : Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) melahirkan kekesalan terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang didakwa lepas tangan terhadap usaha membanteras ‘ulat Arab’ yang semakin berleluasa di ibu kota.

Pengerusinya, Amran Jan dalam satu kenyataan media berkata, BBPTB menyokong tindakan Persatuan Pemandu Teksi Bestari membanteras kegiatan ?ulat Arab? yang kian mengugat mata pencarian pemandu teksi di sini.

Namun apa yang dikesalkan katanya, persatuan itu terpaksa bertindak sendirian dengan hanya dibantu pihak polis, tanpa sebarang tindakan susulan daripada SPAD.

“SPAD yang sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam hal ini sekadar mengambil laporan tanpa apa-apa tindakan susulan. Pendirian sebegini jelas menunjukkan bahawa pengerusinya (Tan Sri Syed Hamid Albar) memang tidak berminat menangani permasalahan atau kemelut yang membelenggu pemandu teksi sejak berpuluh tahun lamanya.

“Ia juga secara tidak langsung mengesahkan desakan BBPTB agar Syed Hamid Albar meletak jawatan sebagai Pengerusi SPAD, adalah berasas,” katanya.

Beliau berkata, tujuan utama penubuhan SPAD kini dilihat lebih terarah kepada menguruskan projek mega aliran transit massa (MRT).

Katanya lagi, SPAD juga tidak mampu menyelesaikan permasalahan sedia ada dalam industri perkhidmatan teksi di negara ini.

“Ditambah lagi dengan dilema yang dihadapi oleh pemandu-pemandu lori yang sekarang ini sudah mula melakukan mogok, seperti di Melaka tempoh hari. Itu hakikat yang SPAD  terpaksa terima. Dukacita untuk menyebut, mungkin Syed Hamid Albar telah memilih ?pelan persaraan? yang salah,” tegasnya.


Pengarang :