NASIONAL SELANGOR

Alinah Wanita Pertama Dilantik Datuk Bandar PJ Di Malaysia

Datin Paduka Alinah Ahmad

SHAH ALAM 19 DIS : Perlantikan Datin Paduka Alinah Ahmad sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang baharu menjadikan beliau sebagai Datuk Bandar Wanita pertama di Malaysia.

Pengumuman tersebut dibuat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang media sejurus beliau selesai menghadiri Mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini petang tadi.

“Saya percaya pengalaman luas beliau dalam semua bidang pentadbiran di peringkat negeri Selangor dan Persekutuan dapat membantu beliau menjadi Datuk Bandar yang efektif.

“Semoga Datuk Bandar yang baharu ini dapat memahami hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar pilihan rakyat untuk mendiami dan menjalankan perniagaan,” jelas beliau.

Hari ini merupakan hari terakhir Alinah memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan beliau dijangka memulakan tugas sebagai Datuk Bandar MBPJ pada 1 Januari nanti.

Beliau sebelum ini pernah bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Ketua ADO Kuala Langat, ADO Penguatkuasa Pejabat Daerah Petaling, Ketua Penolong Setiausaha Kewangan SUK dan Ketua Penolong Setiausaha ICU, Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pendengaran berhubung kenaikan cukai intu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dijangka memulakan sesi penerangan awam pada Januari 2013.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah selain dianggotai Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohtar Hani, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan wakil daripada Perbendaharaan Negeri Selangor.

Terdahulu, Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan hadir membentangkan proses dan prosedur kenaikan cukai pintu di Mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar.


Pengarang :