Pelbagai

Artis Penuhi Syarat, Tiada Halangan berceramah Di Selangor

artis 1

SHAH ALAM 18 DIS : Kerajaan Negeri tidak menghalang mana-mana selebriti yang mahu menyampaikan ceramah atau tazkirah selagi memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri merasakan pengiat seni wajar diberi peluang kerana mereka mempunyai karisma yang dapat menarik perhatian masyarakat.

Katanya, pengiktirafan kepada artis itu bertujuan untuk menarik golongan muda mendekatkan diri dengan Islam dan dalam masa yang sama dapat mengimarahkan masjid dan surau.

artis 2“Jika dulu mereka ini tidak dibenarkan, sekarang kita sudah terima balik kerana kita tahu mereka mempunyai tujuan yang murni. Mereka boleh lakukan mengikut cara mereka sendiri.

“Sebagai orang Islam, tanggungjawab mengingati satu sama lain ialah tanggungjawab yang sangat besar jadi tidak salah jika mereka diberikan peluang asalkan mengikut syarat yang ditetapkan JAIS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Himpunan Artis Sayang Islam (HIAS).

Dalam program itu, kira-kira 50 pengiat seni termasuk pelakon, penyanyi, penulis, pengarah dan pemuzik hadir menyertai program terbabit.

Antaranya Diana Amir, Yatt Hamzah, Noryn Aziz, Heliza Helmi, Ashraf Muslim, Irma Hasmie, Aziz M.Osman, Bob Lokman, Azmil Mustafa dan Siti Nurdiana.

Program julung kali itu dianjurkan oleh Bahagian Dakwah JAIS dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dibawah Sekretariat Generasi Idaman Selangor (GEMS).

artis 3Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Ahmad Zaki Arshad dan Exco Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Program sehari bermula jam 8 pagi hingga lima petang itu bertujuan memberi ruang kepada golongan pengiat seni mempelajari kaedah-kaedah berdakwah yang betul supaya dapat mempengaruhi golongan muda mengamalkan ajaran Islam dalam usaha melahirkan masyarakat berlandaskan syariat Islam.

Antaranya melibatkan segmen bual bicara bertajuk Era Kebangkitan Islam, Selebriti Di Mana?, Selebriti VS Dai’e dan pembentangan kertas kerja, pengenalan duta dakwah selebriti, Ta’aruf selebriti dan deklarasi dari wakil selebriti.


Pengarang :