Atlet Paralimpik Antara Penerima Darjah Kebesaran | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Muhammad Asri Sapfie

Atlet Paralimpik Antara Penerima Darjah Kebesaran

KLANG 11 DIS : Atlet paralimpik, Hasihin Sanawi dan Muhammad Ziyad Zolkefli merupakan antara 98 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke 67 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kedua-dua mereka ternyata teruja dan tidak menduga menerima kurniaan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafudin Idris Shah (S.I.S) dalam satu majlis yang diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah pagi tadi.


Hasihin, 29, pemenang pingat Perak dalam acara memanah di Sukan Paralimpik London 2012 lalu berasa sangat bangga dan berbesar hati dengan darjah yang diterima.

“Sebagai atlet paralimpik, saya juga rasa terharu kami diberi penghargaan sebegini oleh DYMM Sultan Selangor.

“Ini juga akan menjadi suntikan semangat untuk saya dan atlet paralimpik lain untuk berusaha gigih lagi bagi menghadapi kejohanan Paralimpik Myanmar tahun hadapan,” jelas beliau.

Turut berasa bangga, Ziyad, 22, berkata kurniaan darjah itu merupakan pengiktirafan tertinggi yang dicapai beliau dalam usia yang masih muda.

“Selepas majlis pagi ini, saya akan ke Kuantan Pahang pula untuk mewakili negeri dalam Kejohanan Paralimpian.

“Pasti saya lebih bersemangat untuk mencapai kejayaan menaikkan nama negeri dan tidak lupa untuk negara selepas ini,” ucap Ziyad yang menerima Pingat Gangsa dalam acara Melontar Peluru di Sukan Paralimpik London lalu.

Kedua-dua mereka merupakan atlet sepenuh masa di bawah Majlis Paralimpik Malaysia.

Antara penerima lain ialah Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah kebesaran ialah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga bekas Datuk Bandar Shah Alam iaitu Datuk Ramli Mahmud.

Beliau yang kini merupakan Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor mendapat Darjah Kebesaran Datuk Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran Datuk Setia.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran kaum kerabat diraja Sultan Sharafuddin selain kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isterinya, Puan Sri Salbiah Tunut.

Turut hadir ialah ahli-ahli Exco Negeri, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta tetamu-tetamu khas yang lain.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION