NASIONAL SELANGOR

Cukai Taksiran MBSA Antara Terendah, Hanya Babitkan Kilang

mbsa-web lama

SHAH ALAM 20 DIS: Kenaikan cukai taksiran yang dikenakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh khususnya pemilik kilang-kilang di kawasan itu adalah antara yang terendah di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, sebagai contoh, kadar cukai taksiran di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah 8.8 peratus, Majlis Perbandaran Kajang (MPkJ) adalah di antara 9.35 hingga 11 peratus dan Majlis Perbandaran Selayang adalah 10.8 peratus.

Katanya, kadar cukai taksiran di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh yang dahulunya dikira mengikut kategori pertanian iaitu di antara satu hingga dua peratus dan setelah pengiraan semula dilakukan mengikut kategori perindustrian iaitu tujuh hingga 7.5 peratus.

“Semakan nilaian ini dilakukan berdasarkan beberapa perkara antaranya perubahan status kegunaan tanah dari tanah pertanian (kosong) kepada tanah industri, tanah kosong yang didirikan bangunan.

“Bagi Kampung Baru Sungai Buloh, semakan dilakukan MBSA pada tahun 2012 dan didapati banyak bangunan baru didirikan, terdapat juga perubahan kepada kegunaan bangunan serta kediaman yang dibina bangunan kilang,” katanya ketika sidang media di Wisma MBSA hari ini.

Sebelum ini, Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendakwa kenaikan cukai pintu sehingga 10 kali ganda berlaku di Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang serta kawasan lain mulai tahun depan.

Mohd Jaafar berkata, rata-rata kilang di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh merupakan kilang yang besar dan cukai yang dikenakan masih berpatutan jika dikira berdasarkan pengeluaran yang dikeluarkan kilang di kawasan itu.

“Kebanyakan produk kilang-kilang di kawasan itu ada yang dieksport ke luar negara dan mengeluarkan produk bermutu tinggi namun cukai taksiran yang dikenakan masih rendah,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri membentuk Jawatankuasa Mendengar Bantahan Peringkat Negeri yang dipengerusikan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah dan turut dianggotai beberapa wakil dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Negeri Selangor serta wakil daripada Pejabat Perbendaharaan Negeri.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri dan MBSA turut mengadakan sesi dialog sebanyak dua kali sepanjang tahun ini bagi menjelaskan kepada penduduk di Kampung Baru Sungai Buloh berkenaan kenaikan cukai ini.

MBSA turut membuka kaunter penerangan mulai 20 November lalu setiap hari Selasa dan Rabu sehingga bulan Disember ini bagi membantu pemilik tanah mendapatkan makluman berkenaan permohonan kebenaran merancang, permohonan bayaran premium tanah dan lain-lain.

“Kaunter penerangan ini turut diserta agensi-agensi luar seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta Jabatan Pengaliran dan Saliran Selangor,” katanya lagi.


Pengarang :