Selangorkini
NASIONAL

Donald Lim Patut Jumpa Sendiri Masyarakat Sungai Terentang

kg terentang 23ogos2012 02

SELAYANG 23 DIS : Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai disarankan agar bertemu dengan rakyat Sungai Terentang sendiri tentang isu pembinaan kabel voltan tinggi Pengukuhan Lembah Klang (CAR) oleh Kerajaan Negeri.

Saranan itu dibuat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang turut menambah permintaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung projek berkenaan adalah tidak selari dengan kehendak masyarakat Kampung Terentang di Rawang.

“Pertemuan itu perlu diadakan bagi membolehkan Donald Lim memahami sendiri suara rakyat berkenaan isu ini.

“Tiada guna saya berjumpa dengan beliau menerangkan semuanya melainkan beliau sendiri bertemu rakyat sepertimana yang dikehendaki masyarakat Sungai Terentang,” tegas Abdul Khalid dalam satu sidang media di sini semalam.

Donald sebelum ini meminta penjelasan Menteri Besar berhubung tindakan menangguhkan projek CAR di antara Bukit Tarek, Rawang dan Kampung Chubadak, Sentul, yang menurutnya, akan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik yang teruk.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sebelum ini telah memberikan cadangan laluan alternatif menggantikan laluan asal TNB. Berbanding dengan laluan asal, laluan alternatif itu tidak akan merentasi rumah penduduk Kampung Sungai Terentang.

Mengulas soalan lain berhubung kenaikan cukai tanah oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Abdul Khalid sekali lagi menegaskan bahawa cukai yang dinaikkan ialah cukai penggunaan tanah.

“Ini bermakna, jika dahulu tanah tersebut tidak dibangunkan dan kini ada pembangunan di atasnya, maka tentulah cukai yang dikenakan berbeza-beza mengikut penggunaan tanah,” jelas beliau.

Kerajaan Negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Exco Negeri, Ean Yong Hian Wah bagi mengadakan sesi penerangan awam kepada rakyat berhubung kenaikan cukai tersebut.

Terdahulu, Abdul Khalid menyampaikan surat tawaran rumah berkembar kepada 961 individu yang merupakan bekas peneroka bandar Bukit Botak.


Pengarang :