NASIONAL SELANGOR

Dr Halimah : IPT Selangor Tingkat Kemudahan OKU

SHAH ALAM, 13 DIS: Kerajaan Negeri Selangor akan meningkatkan aksesbiliti bagi kemudahan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik Kerajaan Negeri.

Tindakan tersebut diambil setelah mendapat ‘input’ dari wakil golongan itu dalam Majlis Pelancaran Hari Mahasiswa dengan tema Mahasiswa Cemerlang Tonggak Negara yang diadakan malam tadi.

Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali ketika ditemui TV Selangor selepas majlis pelancaran itu.

“Memang kita sengaja mencari mahasiswa dari golongan OKU malam ini supaya kita nak dengar input dari mereka.

“Jadi bila kita dah dengar, kita kaji memang ada keperluan, mungkin ameniti yang diperlukan tidak mencukupi dan tidak mesra OKU seperti mana kita mahu sebelum ini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesra OKU dan ini kita akan implimentasikan di IPT Kerajaan Negeri pula.

“Kita akan mengambil tindakan supaya aminiti itu mencukupi untuk golongan OKU,” kata Halimah.

Sebelum itu, dalam ucapan oleh mahasiswa OKU, Mohd Abdullah Mohd Yusof, selain berterima kasih atas jemputan Kerajaan Negeri untuknya meluahkan pandangan, beliau juga menyarankan agar Kerajaan Negeri mengambil langkah meningkatkan aksesbiliti bagi golongan tersebut dalam IPT milik Kerajaan Negeri.

Menurutnya lagi langkah tersebut bukan sahaja membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan OKU, malah akan menjadi model kepada Kerajaan Pusat dan negeri lain.


Pengarang :