Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Gagal Beri Penjelasan Wang Haram RM200 Bilion, Menteri Perlu Letak Jawatan

Duit_contoh_selangorku

SHAH ALAM,19 DIS : Menteri Kewangan perlu menjelaskan bagaimana hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari Malaysia pada tahun 2010 yang meletakkan negara di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jika beliau tidak dapat menjelaskan kedudukan isu dengan telus dan jujur maka menteri tersebut wajar meletakkan jawatan.

“Ini adalah suatu kepincangan yang sangat besar untuk diketepikan tanpa pertanggungjawapan penuh dari Menteri Kewangan.

“Di peringkat antarabangsa aliran wang haram adalah suatu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Azmi dalam kenyataan medianya.

Beliau menjelaskan, laporan dari badan badan pemantau – Global Financial Integrity (GFI) dalam laporan terbarunya yang menjejaki pengaliran modal menyatakan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia – dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38 bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.

“Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih 10 tahun – dari 2001-2010 – Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico.

“Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion, dan Mexico, AS$476 bilion,” katanya.

Tegas Azmi, ekonomi negara mengalami kerugian pada tahap berbilion ringgit jika isu ini tidak di atasi dengan tegas.

Ia bukan sahaja akan mengakibatkan negara kehilangan pendapatan yang sangat tinggi dari cukai malah integriti pengurusan kewangan negara dilihat sangat lemah dan wang negara akan terjejas teruk bila aliran keluar wang berlaku tanpa kawalan.

“Kini kita berhadapan dengan pengeluaran wang keluar dari Malaysia secara haram yang menunjukkan tahap pengawasan sangat lemah dan begitu mudah untuk bolos keluar,” ujar beliau.

Beliau berkata, Menteri Kewangan(Datuk Seri Najib Razak) harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini yang melambangkan kelemahan dan kepincangan yang amat ketara yang melibatkan masa depan ekonomi negara .

“Jika Menteri berkenaan tidak boleh mengatasi masalah ini maka beliau perlu melepaskan jawatan dan diserah kepada seorang yang lebih kompeten dan berkelayakan untuk menguruskan kewangan negara,” katanya.


Pengarang :