Pelbagai

Iskandar Tawar Pemaju Bina Rumah Mampu Milik Di Selangor

iskandar-samad-pink-01

SHAH ALAM 18 DIS : Untuk memenuhi permintaan Rumah Mampu Milik(RMM), Kerajaan Negeri membuka peluang kepada pihak pemaju mengemukakan permohonan membina rumah tersebut bagi menggantikan Rumah Kos Rendah yang mereka perlu bina.

Bagaimanapun, Exco Perumahan, Iskandar Abdul Samad menegaskan kelulusan kepada pemaju tertakluk mengikut syarat yang mesti dipenuhi dan diluluskan oleh Mesyuarat Exco.

“Permohonan akan diluluskan sekiranya kurang permintaan atau kurang permintaan untuk Rumah Kos Rendah di sesuatu kawasan itu.

“Permohonan juga boleh diluluskan jika terdapat masih banyak Rumah Kos Rendah yang masih tidak terjual di kawasan tersebut,” jelas Iskandar dalam satu kenyataan medianya.

Mesyuarat Exco akan mengambil kira laporan teknikal daripada Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor (JPBD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) mengenai sesuatu permohonan.

Berdasarkan ulasan-ulasan teknikal itu, Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan permohonan tersebut.

“Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak-pihak yang terlibat.

“Jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS sekalipun, ia masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco yang dibuat secara ‘collective’ dan bukan berdasarkan keputusan Exco Perumahan sahaja,” tegasnya lagi.

RMM Selangor dijual pada harga sekitar RM85,000 hingga RM120,000 dengan keluasan antara 850 hingga 1,000 kaki persegi di samping rekabentuk berkonsepkan ‘green building’.

Pemaju juga perlu mengambil kira penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi termasuk untuk warga emas dan Orang Kelainan Upaya(OKU), mengenakan kos penyelenggaraan yang murah dan keuntungan yang tidak melebihi sepuluh peratus.

 


Pengarang :