Selangorkini
SELANGOR

Kajian Kenal Pasti, Kerja Baiki Kawasan Tanah Runtuh Sudah Dimulakan

SHAH ALAM, 2 DIS : Di samping kajian bagi mengenal pasti kawasan berisiko akan terjadi tanah runtuh, Kerajaan Selangor sedang giat menjalankan kerja-kerja pengukuhan dan pembaikan struktur tanah di kawasan runtuhan.

Kerja-kerja pengukuhan tanah dan membaiki kerosakan jalan tersebut melibatkan kawasan sensitif berisiko tinggi di Hulu Langat termasuk kawasan yang mengalami kejadian tanah runtuh baru-baru ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penduduk di kawasan Hulu Langat perlu lebih bersedia dan berwaspada terhadap sebarang pergerakan tanah terutama pada musim hujan ketika ini.

Minggun lepas hujan lebat menyebabkan runtuhan batu kecil di belakang dinding dapur rumah kebajikan Perkid, berhampiran Kajang.

Manakala pada Nov 29 lalu, lima orang tercedera setelah kenderaan mereka terjunam dalam satu kejadian tanah runtuh di Jalan Kerchau, berhampiran Empangan Semenyih.

Exco Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar dan Pelancongan Selangor, Elizabeth Wong juga mengingatkan pemilik kawasan persendirian agar bertanggungjawab ke atas tanah milik masing-masing.

“Bagi pemilik tanah, mereka bertanggungjawab atas tanah masing-masing dengan membina zon-zon pemampan di kawasan masing-masing, mesti ada zon  pemampan.

“Bagi kediaman yang diubahsuai hingga hampir dengan bukit pula, harus waspada, kalau perlu, ubah kegunaan bilik yang hampir dengan bukit.

“Contohnya, kalau binaan sambungan itu digunakan sebagai bilik tidur, tukarkan untuk kegunaan lain sebab bahaya,” katanya apablia dihubungi TV Selangor.

Elizabeth juga memberitahu, semenjak tiga tahun lalu Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) giat menjalankan pelbagai program kesedaran awam dengan kerjasama NGO bagi memberi penerangan tanda-tanda awal tanah runtuh.

“Tanah runtuh bukan berlaku secara tiba-tiba, sebelum itu ada tanda-tanda awal yang boleh dikenal pasti dan kalau dapat dikesan awal boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda,” kata Elizabeth.

Menurut Elizabeth antara tanda-tanda awal sebelum berlaku runtuhan tanah seperti pokok, tiang elektrik, dinding penahan dan pagar menjadi semakin condong.

Tanda-tanda lain seperti tanah menjadi terlampau basah, penjelmaan mata air, retakkan dan pembengkakan tanah, jalan atau kaki lima, garisan lurus di jalan raya menjadi bengkang-bengkok, paip pecah atau bocor.

Penghuni rumah juga perlu berwaspada sekiranya terdapat pintu atau tingkap rumah yang tidak boleh ditutup seperti biasa.

Dalam isu sama, Abdul Khalid berkata beliau akan mengumumkan lokasi kawasan berisiko tanah runtuh apabila Kerajaan Negeri selesai menjalankan kajiannya.

“Kita nak beritahu kepada rakyat mana yang tempat yang sangat sensitif kerana kalau kita tak beritahu daripada awal akan membahayakan orang ramai, dalam masa satu bulan lagi saya akan umumkan kawasan-kawasan yang dipanggil kawasan sensitif.

“Penduduk, jiran tetangga perlu bersedia,” ujar Abdul Khalid apabila ditemui selepas Bengkel Pengurusan Masjid di Masjid Negeri baru-baru ini.


Pengarang :