SELANGOR

Kerajaan Negeri Tubuhkan Skuad Kecemasan Sedia Hadapi Banjir

SHAH ALAM, 3 DIS: Bagi membantu orang ramai berhadapan kejadian banjir, Kerajaan Negeri mewujudkan Skuad Kecemasan yang diselia oleh pejabat-pejabat daerah di semua kawasan Negeri Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan prihatin, Dr Xavier Jayakumar ketika dihubungi TV Selangor menasihati orang ramai agar segera menghubungi bilik kecemasan skuad itu yang akan dibuka 24 jam di pejabat daerah masing-masing.

“Bagaimanapun, pada masa ini orang ramai boleh hubungi talian hot line Pejabat Daerah dahulu untuk memaklumkan kejadian banjir.

Selain itu beliau turut berkata bahawa Exco Kerajaan Negeri juga menyediakan dana untuk disalurkan kepada agensi yang terlibat dengan gerakan membantu mangsa banjir itu.

“Ia bukan disalurkan kepada mangsa banjir, tetapi untuk menggerakkan operasi bantuan kecemasan kepada mangsa banjir ketika air naik.

?Bantuan untuk mangsa banjir diputuskan selepas itu apabila Kerajaan Negeri bermesyuarat. Yang penting selamatkan mangsa dahulu,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini telah dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri sudah bersiap sedia untuk menghadapi kejadian banjir di Selangor pada musim hujan yang bakal berlanjutan hingga ke Mac tahun depan.

Pada pertengahan bulan November lalu, seramai 1,217 individu daripada kawasan Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor terpaksa dipindahkan akibat banjir.


Pengarang :