Selangorkini
SELANGOR

MB : Datuk Bandar MBPJ Baru Diumumkan Hujung Tahun

SHAH ALAM, 3 DIS : Kerajaan Negeri akan mengumumkan Datuk Bandar Petaling Jaya baru bagi menggantikan kedudukan Datuk Mohamad Roslan Sakiman selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau telah menerima beberapa cadangan calon yang masih dalam penelitian Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan mula menentukan siapakah calon yang layak untuk menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum hujung tahun ini.

?Menteri Besar telah diberi beberapa cadangan yang masih dalam pemerhatian,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi 2012 di Dewan Jubli Perak, SUK pagi tadi.

Mohamad Roslan sebelum ini diarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bertukar ke jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pusat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Okt lalu.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik semula dan Mohamad Roslan dikekalkan sebagai Datuk Bandar MBPJ kerana jawatan berkenaan tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menegaskan Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) baru.

Menurut beliau, ini kerana Ehsan Mukri selaku Pemangku telah menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Dipertua walaupun pelantikannya masih belum diputuskan JPA.

“Kita masih mengekalkan pelantikan Ehsan kerana pelantikan beliau itu mengambil kira statusnya sebagai Yang Dipertua Majlis.

?Walaupun dari segi penjawat awam, status dia tidak sampai ke tahap itu, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan pembiayaan tambahan dari segi gaji dan kemudahan seperti Yang Dipertua.

“Namun, apabila JPA telah menaikkan pangkatnya, dia bukan lagi Pemangku, tetapi bertukar sebagai Yang Dipertua,” katanya lagi.


Pengarang :