SELANGOR

MB Lepaskan Peserta Ekspedisi Promosi Selangor Destinasi Pelancongan

SHAH ALAM, 1 DIS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melepaskan peserta Ekspedisi Semenanjung 2012 oleh Kelab Suzuki Vitara bersama media bagi mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan.

Perjalanan ekspedisi yang disertai oleh kira-kira 50 peserta bersama 15 kenderaan pacuan empat roda Suzuki Vitara itu akan berjalan sejauh 2,500 km di Semenanjung Malaysia.

Menurut Abdul Khalid, peserta ekspedisi tersebut boleh dianggap sebagai duta Negeri Selangor.

“Selain memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pilihan, mereka juga akan memperkenalkan program Selangorku untuk menunjukkan rakyat Selangor mengikuti perkembangan di Selangor.

“Mereka juga mahukan Selangor dibangunkan dengan bersih dan tertib dengan meninjau kemudahan dan suasana pelancongan di negeri lain,” ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TV Selangor selepas melepaskan convoi tersebut di Shah Alam Convention Centre Mall pagi tadi.

Ekspedisi turut dijayakan dengan kerjasama dan sokongan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar.

Ekspedisi itu dianggarkan akan mengambil masa tujuh hari dan berakhir di Shah Alam Selangor.

Ketua Ekspedisi Semenanjung, Zulhizam Shahrani pula berkata ekspedisi itu akan membawa mesej khas sepanjang perjalanan seluruh Semenanjung melalui mesej ‘Selangorku’ dan logo Selangorku,

Manakala ia akan melalui 99 peratus laluan tidak bertol dan kampung termasuk laluan off road di sekitar Terengganu.


Pengarang :