NASIONAL SELANGOR

Minta TNB, TM Baiki Kabel Runtuh Punca Banjir Kilat

yb shuhaimiSHAH ALAM, 18 DIS : Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) digesa segera bertindak terhadap runtuhan jambatan kabel yang menyekat laluan air ke Sungai Kandis, di sini sehingga mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Sri Muda.

Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, pihaknya membuat aduan kepada jabatan berkaitan pada 3 November lepas, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, banjir kilat dilaporkan masih berlaku sehingga semalam di sekitar kawasan Bukit Naga, Kampung Sri Gambut, Kampung Batu Lapan, Taman Sri Meena, Sentosa, Taman Mewah Jaya dan Bukit Rimau.

“Punca utama berlakunya banjir sudah tentu disebabkan hujan lebat, namun ia turut membabitkan masalah saliran. Kita¬† banyak bersihkan saliran tetapi masih terdapat parit yang yang belum dibaiki salah satunya kabel voltan ke arah Sungai Kandis.

“Jadi itu antara punca yang menyebabkan air tersekat dan tidak boleh mengalir. Bila air banyak, saliran itu akan bergerak perlahan dan menyebabkan banjir kilat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, pihaknya memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengatasi masalah berkenaan.

Katanya lagi, insiden banjir kilat kawasan Sri Muda dilaporkan berlaku sejak 16 November lalu.

“Untuk kawasan yang teruk dilanda banjir seperti Kampung Johan Setia, pihak JPS telah mengambil tindakan membersihkan 11 parit sepenuhnya. Maka apabila hujan turun, air tidak masuk ke dalam rumah dan mengalir terus ke Sungai Air Hitam.

“Beberapa kawasan lain belum diatasi sepenuhnya ekoran utiliti masih belum dibaiki. Bagaimanapun, kita akan laksanakan tindakan segera,” ujarnya.


Pengarang :