NASIONAL

Peguam Negara Perlu Pulang Semula Wang Saman AES

AES_Grafik_1

SHAH ALAM,19 DIS : Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail seharusnya memulangkan semua wang yang dibayar oleh mereka yang sudah menyelesaikan saman melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Gani Patail seharusnya bertindak demikian bukan sekadar hanya menarik balik dakwaan terhadap individu yang telah dihukum melalui AES itu.

Katanya, Kerajaan BN seharusnya mengakui bahawa Pakatan Rakyat (PR) adalah betul dalam memansuhkan AES.

“Hampir 300,000 saman dikeluarkan sejak kamera AES 1Malaysia dipasang di 14 lokasi pada 23 September 2012.

“Lebih banyak saman akan dikeluarkan apabila baki 817 lokasi dipasang tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhannya 831 kamera di seluruh negara,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, penggantungan dakwaan ke atas pemandu yang dikenakan dengan 300,000 saman trafik di bawah AES membuktikan keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menghalang pemasangan AES adalah wajar dan benar.

Ujarnya, walaupun Abdul Gani cuba untuk mengurangkan tamparan hebat kepada BN dan kredibilti Kerajaan Pusat dengan mendakwa bahawa langkah itu berpunca daripada kebimbangan orang ramai ke atas ?undang-undang dan ciri-ciri teknikal lain? .

Ia sebenarnya menunjukkan bahawa AES kehilangan kredibiliti awam.

Seharusnya skim kotor ini, yang membenarkan dua syarikat kroni BN untuk mengaut keuntungan berdasarkan komisen daripada setiap saman trafik, dan yang kononnya adalah untuk mengurangkan kemalangan, dihentikan tanpa melengahkan masa.

“Kenyataan Abdul Gani di sisi undang-undang adalah betul bahawa saman AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan masih sah.

“Oleh itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha harus menggunakan kuasanya untuk membatalkan saman JPJ bagi menebus kembali sokongan beliau terhadap AES.

“Sekiranya Kong tidak berbuat demikian, beliau harus meletakkan jawatan kerana menjadi penyokong AES, dengan cuba merosakkan nama baik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang kononnya menggalakkan kemalangan berlaku,” katanya.


Pengarang :