NASIONAL SELANGOR

PKR Serah Bukti Rasuah Konsensi Balak Sabah Kepada ICAC Hong Kong

PETALING JAYA, 11 DIS: PKR menghantar satu delegasi ke Hong Kong dalam usaha membuka semula siasatan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) terhadap tuduhan rasuah yang didakwa melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Delegasi itu yang diketuai Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli akan membawa bukti-bukti transaksi wang dari syarikat yang mendapat konsesi balak Sabah kepada akaun milik ahli perniagaan, Michael Chia.

Rafizi menunjukkan salinan slip pemindahan wang yang beliau mendakwa adalah bayaran deposit bagi syarikat yang medapat konsensi balak.

Antara syarikat yang mendapat konsesi balak dari Kerajaan Negeri Sabah dan membuat bayaran bernilai jutaan ringgit kepada Michael, termasuklah Ever Fame Enterprise Limited, Borion Enterprise Limited dan Wayco Enterprise Limited.

?Kewujudan akaun yang dimiliki Michael dan pemindahan wang oleh pemegang konsensi mengesahkan bahawa Michael bertindak sebagai orang tengah untuk mengutip wang hasil dari konsensi balak yang dikeluarkan kerajaan Sabah,? kata Rafizi.

Transaksi tersebut melibatkan akaun Bank UBS di Hong Kong dan akaun Shahghai Banking (HSBC) di Singapura.

Rafizi mendakwa mempunyai bukti pemindahan wang dengan jumlah berbeza di mana amaun tertinggi yang dicatatkan bernilai USD 1,727,928.33 (RM 5,290,210.18) pada 18 September 2007, manakala lainnya sekitar USD 100,000 (RM 306,011.81) hingga USD 700,000 (RM 2,141,736.33).

Rafizi turut menunjukkan kepada media transaksi bernilai AU $2,350 (RM 7,537.51) ke akaun anak Musa, Mohammed Hayssam di Australia oleh Zenique Investment Ltd.

Pada 2008, Michael Chia ditangkap di Lapangan Terbang Hong Kong disyaki cuba menyeludup keluar wang haram berjumlah S$16 juta (RM 40 juta).

Menurut laporan media ketika itu, Michael mendakwa wang tersebut milik Musa.

Bagaimanapun ICAC menerusi kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zevros, berkata ICAC tidak meneruskan siasatan terhadap wang ini kerana gagal mendapatkan kerjasama dari pihak berkuasa Malaysia untuk mengumpul maklumat dan bukti.

Pada Oktober lepas, Menteri Di Dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata wang tersebut adalah sebagai sumbangan kepada Umno Sabah dan bukan kepada Musa.


Pengarang :