SELANGOR

RM50,000 Untuk Persatuan Sukan OKU Selangor

KLANG,8 DIS : Kerajaan Selangor memberikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya (OKU) Negeri Selangor (PESRON) yang diterima Pengerusinya, Sahidon Hamzah.

Sumbangan ini bagi penajaan ke Kejohanan Sukan Paralimpik Peringkat Kebangsaan 2012 yang akan diadakan di Kuantan,Pahang.

Cek sumbangan itu diserahkan oleh Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi pada majlis yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Klang di sini.

Dr Yunus Hairi dalam ucapannya berkata, konsep sukan untuk semua adalah usaha melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas.

Ujarnya, aktiviti sukan perlu dilakukan untuk semua peringkat kerana ia mampu memberikan sumbangan kepada kecemerlangan sukan negara.

Dua orang atlet paralimpik yang berjaya dalam Sukan Paralimpik 2012 di London perlu dijadikan inspirasi kepada mereja untuk cemerlang dalam sukan.

“Sukan bukan sekadar untuk menjaga kesihatan dan mendapat pingat tetapi keupayaan sebagai industri.

“Sukan sebagai industri akan memberikan pulangan ekonomi yang bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutup Karnival Sukan OKU Peringkat Negeri Selangor.

Majlis itu adalah anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor bersama Persatuan Sukan Dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Selangor (PESRON).

Sukan yang terlibat adalah Futsal,Bola Tampar Duduk,3 on 3 Basketball, Dart, Tenis Kerusi Roda, Tenpin Boling dan Karom.


Pengarang :