NASIONAL

Rodziah : Badan Bebas Perlu Cari Punca Kematian Aminulrasyid

SHAH ALAM, 9 DIS : Kerajaan perlu mewujudkan sebuah badan bebas bagi menyiasat punca kematian Aminulrasyid Amzah,15, kira-kira dua tahun lepas.

Ia penting kerana bukan sekadar pembebasan pihak tertuduh,Koperal Jenain Subi,49, atas alasan polis tidak berniat untuk membunuh Aminulrasyid.

Exco Selangor, Rodziah Ismail berkata, kerajaan perlu telus dalam memberikan fakta yang sebenar punca kejadian demikian supaya boleh dijadikan pengajaran.

“Saya terkejut apabila alasan kes itu tidak sengaja walaupun yang kita ketahui lebih 20 das tembakan dibuat serta pertuduhan bahawa Aminulrasyid berhasrat untuk menyerang pegawai serta dakwaan wujudnya parang, semua ini tiada bukti.

“Polis dengan kuasa yang ada boleh mengeluarkan kenyataan tanpa bukti yang akhirnya terjebak adalah pelajar sekolah yang mati dalam keadaan dramatik yang tidak diketahui puncanya,” katanya.

Ujarnya, beliau sedia membantu keluarga Aminulrasyid untuk mendapatkan hak perundangan di bawah geran demokrasi yang disediakan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVSelangor selepas Program Ramah Mesra Adun Batu Tiga Bersama Peserta Mimbar Selangor yang diadakan di Hotel De Palma, di sini.

Sebelum ini, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuan Jenain, memutuskan demikian selepas mendapati Jenain tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pertengahan September 2011, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Ketika menjatuhkan itu, Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan bahawa penggunaan senjata oleh Jenain, yang berakhir dengan 21 tembakan, satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.


Pengarang :