NASIONAL SELANGOR

Samseng MIC Didakwa Serang Peserta Himpunan Duduk Bantah 12-12-12

PUTRAJAYA, 12 DIS : Sekumpulan 30 samseng yang didakwa anggota MIC bertindak menyerang pemimpin Pakatan Rakyat(PR) di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya pagi tadi.

Insiden ini berlaku selepas pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai Naib Presiden PKR, N Surendran dibenarkan masuk bertemu Pengarah JPN Malaysia, Datuk Jariah Mohd Said berhubung masalah perolehan rakyat negara ini yang masih menggunakan kad pengenalan merah.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng menjadi mangsa tindakan agresif anggota kumpulan berkenaan sehingga ditolak pada bahagian badan ekoran perasaan tidak senang terhadap gerak kerja yang dilakukan pemimpin PR.

Surendran yang ditemui pada sidang media nyata kesal dengan kejadian berkenaan dan menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

“Polis secara sengaja membenarkan samseng-samseng daripada MIC masuk menyerang kita apabila kita keluar sahaja bilik pengarah Datuk Jariah.

“April kita datang ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), kami diserang dan hari ini sekali lagi.

“Apa yang mengejutkan polis bersekongkol dan membenarkan mereka menyerang kami,” katanya

Berhubung kad pengenalan, beliau meminta JPN membuat pertimbangan segera agar masalah ini dapat diselesaikan selain bersedia untuk memberikan kerjasama.

“Kita kecewa apabila Datuk Jariah berkata akan memberikan borang permohonan untuk warganegara kepada mereka. Kita bantah.

“Setelah kita jelaskan akhirnya pihak JPN bersetuju mengeluarkan borang permohonan kad pengenalan sahaja kerana mereka sudahpun warganegara,” katanya.

Hampir 300 pemohon hadir di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya sempena dengan ‘Himpunan Duduk Bantah 12-12-12’.

Mereka mula berkumpul di perkarangan tempat letak kereta sebelum berarak dan tiba di hadapan Gerbang Utama Jabatan Pendaftaran Negara pada jam 11.20 pagi.

Keadaan agak tegang ekoran penutupan pintu utama namun keadaan diredakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selepas sepuluh orang wakil pimpinan PR dibenarkan masuk berbincang.

Hasil perbincangan menyaksikan JPN bersedia menyediakan lebih daripada empat kaunter pemprosesan maklumat mereka yang belum memiliki kad pengenalan biru bagi tujuan semakan dan pendaftaran.

Antara pimpinan PR yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan beberapa Adun Selangor serta wakil parti komponen Pakatan Rakyat


Pengarang :