NASIONAL SELANGOR

Selangor Masih Destinasi Unggul Pelaburan

SHAH ALAM 12 DIS: Selangor masih kekal sebagai destinasi utama pilihan pelabur antara semua negeri apabila mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 7.68 bilion meliputi 24 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di negara ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2012, Selangor mengekalkan momentum pelaburan yang cemerlang dengan sebanyak 186 projek perkilangan diluluskan.

Projek-projek itu telah mewujudkan sebanyak 16,076 peluang pekerjaan selama sembilan bulan kebelakangan ini.

Jumlah tersebut mendahului negeri lain dari segi jumlah pelaburan yang diterima.

Katanya, dari jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor, sebanyak 71 peratus atau RM 5.47 bilion adalah daripada pelaburan tempatan.

Manakalan 29 peratus atau RM 2.21 bilion daripada pelaburan asing.

“Pelabur tempatan merupakan penyumbang utama dan ini secara langsung menunjukkan para pelabur tempatan menaruh keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.”

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat setiausaha Kerajaan negeri hari ini.

Sementara itu, Sabah menduduki tempat kedua dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 4.84 bilion dan diikuti Sarawak di tempat ketiga dengan RM 4.68 bilion.

“Selangor mencatatkan jumlah kelulusan projek sebanyak 186 projek atau 32 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia,” katanya yang merupakan Adun Kinrara.

Teresa berkata, daripada jumlah projek itu, sebanyak 112 daripadanya merupakan projek baru dengan nilai pelaburan berjumlah RM 4.74 bilion.

Manakala sebanyak 74 projek merupakan projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan berjumlah RM 2.94 bilion.


Pengarang :