Selangorkini
SELANGOR

Selesai Segera Isu Kewarganegaraan

SHAH ALAM, 11 DIS : PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelesaikan isu kewarganegaraan warga berbangsa India dan bukan menjadikan ia isu perkauman.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, Hishammuddin didakwa gagal menyelesaikan isu kewarganegaraan masyarakat India di mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Jelas Izzah, beliau merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Hishammuddin pada 10 Disember lepas yang yang mendakwa isu itu di bawa oleh Pakatan Rakyat untuk mencetuskan rasa tidak puas hati antara kaum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Kenyataan Hishammuddin itu adalah tidak berasas dan bertanggungjawab dalam cubaan untuk memesongkan daripada isu sebenar,” kata Izzah dalam kenyataan medianya.

Tambah Izzah, beliau kecewa terhadap sikap pimpinan BN yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian isu itu dan bukan menjadikannnya isu perkauman.

“Walaupun majoritinya yang tanpa pendaftaran itu adalah berbangsa India namun isu ini juga dihadapi oleh masyarakat Melayu, Cina dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ujar Izzah, PKR yang merupakan parti berbilang bangsa akan terus berjuang demi hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Ia berbeza dengan BN yang hanya bercakap bagi pihak kaum terbabit dan merupakan bahaya besar kepada perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

“Warga tanpa kenegaraan ini yang lahir dan tinggal di negara ini dinafikan hak untuk bekerja, sekolah, kesihatan dan beberapa kemudahan lain termasuk dinafikan hak untuk mengundi,” katanya.


Pengarang :