Selangorkini
SELANGOR

Status MDKL Dinaiktaraf Kepada Majlis Perbandaran

KUALA LANGAT 8 DIS : Status Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat tidak lama lagi.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata ia berikutan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) itu memenuhi kriteria dan syarat.

Katanya, MDKL bukan sahaja sekadar memberikan perkhidmatan kerajaan tempatan yang asas, tetapi memainkan peranan utama dalam melaksanakan program Kerajaan Negeri yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta membangunkan Selangor sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa.

“MDKL dianggap sebagai alat penting dalam pemodenan sosio- ekonomi setempat, antaranya tempat-tempat sejarah dan perlancongan juga banyak di kawasan Kuala Langat ini.

“Jadi tiada sebabnya MDKL tidak boleh menukar statusnya kepada Majlis Perbandaran, pertukaran status itu akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam Penutupan Festival Jalanan Anjuran Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor dengan kerjasama MDKL di Kanchong Darat, di sini.

Rodziah menambah ia selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri yang mahukan 90 peratus kawasan di negeri itu di perbandarankan berikutan sesuai dengan keadaan semasa, ekonomi dan masyarakat setempat.

Untuk rekod, Majlis Daerah Kuala Langat ditubuhkan pada 1 Januari 1977, di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Ia melalui tiga gabungan majlis tempatan iaitu Majlis Tempatan Sg. Jarom, Majlis Tempatan Tanjung Sepat dan Lembaga Bandaran Kuala Langat.

Di mana keluasan kawasan pentadbiran pada awal penubuhannya adalah 3.7 batu persegi (9.6 km) dan mula bertambah kepada 857.70 km persegi termasuk tiga batu nautika.

Selain itu, daerah Kuala Langat mempunyai keluasan seluas 87,704 hektar. Jumlah penduduknya masa kini melebihi 270,000 orang dengan majoriti daripada bangsa Melayu, diikuti oleh Cina dan India serta sejumlah kecil orang-orang asli.

Kuala Langat adalah salah satu dari sembilan daerah di Selangor. Ia bersempadan dengan daerah Klang dan Sepang. Sebahagian daerah Kuala Langat terletak di persisiran Selat Melaka.

Pembangunan pesat kawasan seperti Putrajaya dan Lapangan Terbang KLIA telah meletakkan daerah ini kawasan yang strategik untuk pelaburan.

Di samping itu, daerah ini disokong dengan kemudahan infrastuktur jalan raya yang baik yang menyambungkan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Bandar DiRaja Klang, Pelabuhan Klang, Putrajaya dan KLIA.

Kini, daerah itu terdapat sebuah kawasan perindustrian bertaraf Zon Perdagangan Bebas di Telok Panglima Garang. Selain itu, terdapat juga kawasan yang menarik di sini seperti Bukit Jugra, pantai Morib dan beberapa perkampungan Homestay.


Pengarang :