Sultan Selangor: Jangan Manipulasi Keprihatinan Beta Terhadap Masjid Untuk Publisiti | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Sultan Selangor: Jangan Manipulasi Keprihatinan Beta Terhadap Masjid Untuk Publisiti

SHAH ALAM, 2 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak memanipulasikan keprihatinan dan peranan baginda terhadap institusi masjid demi meraih publisiti.

Menurut baginda, keprihatinan tersebut lahir demi menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor untuk memastikan Agama Islam terus dihormati dan dimartabatkan.


“Jesteru itu, keprihatinan beta terhadap institusi masjid di Negeri Selangor ini diharap tidak disalahertikan oleh pihak tertentu yang mahu meraih publisiti dengan memanipulasikan peranan beta.

“Beta secara ikhlasnya ingin melihat Institusi Masjid menjadi penyumbang kepada kemajuan dan pembangunan di Negeri Selangor ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Pengurusan Masjid yang diadakan di Dewan Solat Bawah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Baginda turut mengingatkan agar Ahli Jawatankuasa masjid agar menyekat perkara negatif di dalam masjid seperti permainan politik, penyebaran ajaran sesat, perpecahan di dalam qariah dan kuliah penceramah tidak bertauliah.

Baginda juga mahukan masjid dijadikan ‘one stop centre’ (pusat khidmat setempat) yang menawarkan pelbagai khidmat.

Ini seperti tuisyen, pusat sumber internet, khidmat majlis keraian seperti akad nikah, ceramah dan pemeriksaan kesihatan, ceramah pengurusan keluarga, pengurusan kewangan dan aktiviti lain bermanfaat kepada masyarakat Islam.

Dalam program Seminar Pengurusan Masjid tersebut, Sultan Sharafuddin turut sempat berkenan mencemar duli untuk bertemu dan berkenalan dengan para pegawai-pegawai masjid yang mengikuti seminar itu.

Dianggarkan hampir 300 peserta yang terdiri daripada para pegawai masjid-masjid seluruh Selangor telah mengambil bahagian dalam program sehari itu.

Program yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor itu diadakan bagi memberi penerangan kepada pegawai masjid akan fungsi dan tanggungjawab mereka dalam menguruskan dan mengimarahkan masjid.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION